NORA Danish (dua dari kiri) dan Fasha Sandha (dua dari kanan) dalam MeleTop. FOTO IG meletop
NORA Danish (dua dari kiri) dan Fasha Sandha (dua dari kanan) dalam MeleTop. FOTO IG meletop
Najiy Jefri


PERTEMUAN empat mata antara pelakon popular Fasha Sandha dan Nora Danish dalam program MeleTop terbitan Astro malam tadi membuktikan persengketaan yang pernah wujud di antara mereka sudah lama terpadam dan kembali berdamai.

Pasangan selebriti ini dilihat begitu profesional dan mesra sepanjang temubual itu berlangsung dan disiarkan secara langsung di Astro Ria, malam tadi.

Fasha yang menghadiri program itu bagi mempromosikan drama Dua Takdir Cinta bersama Faizal Hussein dilihat mesra dan bersahaja ketika menjawab soalan yang diajukan pengacara Nabil serta Nora yang bertindak sebagai pengacara jemputan dalam program itu.

Malah, Nora juga dilihat tidak kekok untuk berinteraksi dengan Fasha walaupun kontroversi antara mereka pernah tular sebelum ini.

Perkongsian video temubual yang dimuat naik di Instagram MeleTop turut mendapat reaksi positif netizen yang begitu teruja dan gembira melihat kemesraan dua pelakon ini disatukan dan sikap profesional mereka.

Pada 2017, Nora mengambil tindakan undang-undang terhadap Fasha kerana didakwa bertindak melulu memuat naik unsur fitnah di Instagram yang disifatkan mencalar reputasi perniagaan diusahakan Nora.

Nora melakukan perkara itu kerana tindakan Fasha mengaitkan dirinya tanpa usul periksa dengan mendakwa dia dihalau pihak Nora pada satu acara acara fesyen Fenomena Raya 2017.

Malah, pertelingkahan mereka berlarutan sejak lebih lapan tahun lalu dengan sering berbalas kenyataan membabitkan isu peribadi dan hal rumah tangga.

Bagaimanapun tahun lalu, kemelut persengketaan antara mereka menemui noktah selepas kedua-duanya bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah antara mereka secara baik di luar mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:12 PM