PENGURUS Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim bersama pelawak, Achey dan Nabil Ahmad ketika hadir merasmikan produk SugarBomb di Ruang 16 Seksyen, Shah Alam.
PENGURUS Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim bersama pelawak, Achey dan Nabil Ahmad ketika hadir merasmikan produk SugarBomb di Ruang 16 Seksyen, Shah Alam.
Najiy Jefri

MELIHAT bekas teman gandingannya menerusi program MeleTOP, Neelofa tampil dengan program bual bicara sendiri, pengacara Nabil mengakui terbit perasaan cemburu.

Bagaimanapun, Nabil berkata dia tetap berbangga dan sentiasa menyokong apa sahaja yang diusahakan Neelofa.

Nabil berkata, Neelofa meninggalkan impak besar terhadap dirinya sehingga masih tercari-cari pasangan yang mempunyai ciri-ciri seperti Neelofa selepas personaliti popular itu mengundurkan diri daripada program MeleTop, Disember lalu.

"Nak tahu tak kenapa Nora Danish dipanggil dua kali menjadi hos jemputan MeleTOP? Sebabnya, saya yang minta. Saya suka Nora kerana rasa kelakar apabila dapat mengusiknya. Saya suka menyakat Nora.

"Contohnya, apabila bergurau dengan 'membahan' dia, saya rasa macam kelakar. Pada pendapat saya, disebabkan itu Nora dipanggil dua kali kerana saya selesa bersamanya.

"Dia mengingatkan saya kepada Neelofa pada awal dahulu. Apabila bergurau, dia macam 'blur'. Jujurnya, saya mencari gandingan lebih kurang sepertinya. Sebab, kami mengendalikan MeleTOP selama lapan tahun.

"Bayangkan, beratus episod sudah saya dan Neelofa buat dan apabila bekerjasama, tiada tekanan. Kami tak risau kerja sebab menyokong antara satu sama lain. Gandingan ini membuatkan semua kerja sentiasa menjadi. Bagi saya, ketiadaan Neelofa bagaikan satu kehilangan," katanya.

Tambah Nabil, dia bagaimanapun tidak menafikan hos jemputan yang digandingkan dengannya tidak kurang hebatnya.

"Antaranya, Elly Mazlein, Sherry Al Hadad dan Jihan Muse. Saya rasakan mereka mempunyai keserasian dengan saya. Mereka sangat profesional.

"Tetapi, letak sesiapa pun, asalkan seronok dan tidak tergagap-gagap ketika program ke udara, saya okey sahaja. Apa yang membuatkan penat bekerja apabila hanya kita yang seolah-olah kendalikan program seorang diri, walaupun sebenarnya berdua.

"Bukan dalam program MeleTOP saja, dalam apa-apa program lain juga. Apabila ada rakan hos tetapi hanya saya seorang sahaja bertanya soalan dan bercakap, memang penat," katanya.

Sementara itu, sepanjang tempoh tiga bulan duduk di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, Nabil mengakui terpaksa berdepan kerugian ratusan ribu ringgit apabila tidak dapat menjana pendapatan.

Nabil berkata, lebih 20 persembahan dibatalkan hingga hujung tahun ini sekali gus memberi tekanan kepada dirinya.

"Sejujurnya, sepanjang PKP, saya tidak ada pendapatan kecuali sebagai pengacara MeleTOP. Malah, pengurus saya beritahu 'show' dan acara hiburan dari Mac hingga Disember, semua dibatalkan.

"Ada lebih 20 acara dibatalkan dengan kerugian yang harus saya tanggung membabitkan ratusan ribu ringgit.

Namun, mujurlah kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium, sekurang-kurangnya tidaklah memberi beban untuk saya melunaskan komitmen," katanya.

Menurut Nabil lagi, akibat berdepan cabaran ekonomi sepanjang PKP, dua pekerja syarikat produksinya terpaksa dihentikan perkhidmatan.

"Setakat ini, saya bersyukur masih ada pekerjaan. Alhamdulillah selepas PKP, saya dapat rentak bekerja semula.

"Sekarang ini, syarikat produksi saya ada seorang pekerja sahaja untuk memantau kerja yang tertangguh. Namun, insya-Allah kita doakan semoga ekonomi negara semakin stabil," katanya.

Tambah Nabil, dia bersyukur banyak jenama tampil menjalin kerjasama dengannya seperti produk wangian, Sugarbomb sehingga dapat menjana pendapatan.

"Saya bersyukur kerjasama ini membuka jalan kepada kawan-kawan untuk berniaga. Ramai sebenarnya, di antara mereka bergantung kepada perniagaan runcit ini.

"Justeru, apabila dapat menjana pendapatan sendiri, tidaklah mereka perlu meminjam wang," katanya yang dilantik sebagai duta produk wangian bersama Achey.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:30 AM