ANTARA selebriti yang hadir pada majlis sidang media percalonan akhir Top 5 AME 2021.
ANTARA selebriti yang hadir pada majlis sidang media percalonan akhir Top 5 AME 2021.
Najiy Jefri


Kehangatan dan debaran acara kemuncak Anugerah MeleTOP ERA edisi kelapan atau AME 2021 semakin kian terasa apabila senarai penuh finalis akhir bagi 16 kategori utama diumumkan secara rasmi.

Senarai pencalonan akhir AME 2021 dilihat cukup meriah dengan kehadiran ramai wajah baharu yang pertama kali dicalonkan serta turut menyenaraikan beberapa wajah lama dan pemenang AME daripada edisi terdahulu.

Bertemakan Fresh Black Tie dengan tagline 'Yang Fresh, Yang Legend', acara penuh prestij AME 2021 bakal dipancarkan secara langsung dalam format kualiti 4K UHD dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 Januari depan secara eksklusif di platform Astro Ria (104), Astro 4K UHD (780), Astro Go, On Demand dan sooka.

Acara kemuncak AME 2021 yang dikemudikan tiga pengacara versatil iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Al Hadad akan bersiaran tepat jam 9 malam.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, sebagai penambahbaikan dan memberi nafas baharu untuk edisi tahun ini, AME2021 bakal menampilkan kelainan besar dari segi kategori utama.

"Kelainan besar yang akan kami tampilkan tahun ini adalah kategori utama iaitu Top Top MeleTOP yang mana kategori berkenaan turut dinilai oleh juri. Ia berikutan kami tidak mahu mendengar rungutan seperti wajah sama saja yang menang setiap tahun.

NORZEHA (kiri) dan Pengurus Rangkaian Kandungan, Astro Radio, Dhan Andreas pada sidang media pegumuman senarai penuh Top 5 AME 2021.
NORZEHA (kiri) dan Pengurus Rangkaian Kandungan, Astro Radio, Dhan Andreas pada sidang media pegumuman senarai penuh Top 5 AME 2021.

"Jadi, kali ini kami nak lebih telus dengan adanya kehadiran juri yang akan menguatkan lagi pemilihan pemenang yang layak, disamping undian peminat.

"Keputusan ini turut dibuat bagi mengangkat kredibiliti kemenangan ke tahap yang lebih tinggi apabila keputusan akhir akan dinilai secara profesional oleh barisan panel juri berpengalaman dan berpengaruh dalam industri hiburan tanah air," katanya.

Tambah Norzeha, pemilihan Sherry AlHadad sebagai hos ketiga adalah bersandarkan keserasian Sherry bersama Nabil dan Jihan dilihat bakal menyuntik kelainan.

"Terdapat beberapa nama yang dicadangkan pihak AME, termasuk yang pernah mengacarakan anugerah ini.

"Bagaimanapun, kami percaya kehadiran Nabil Ahmad dan Jihan Muse bakal memberikan sesuatu yang lebih segar seterusnya menghangatkan pentas AME tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi popular, Khai Bahar mendominasi senarai akhir Top 5 AME2021.

Lima kategori berkenaan ialah Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Grup/Dup MeleTOP, Artis Versatil dan kategori Program MeleTOP Era.

Sementara itu, penyanyi Shiha Zikir dan kumpulan pop Dolla, masing-masing tercalon dalam empat kategori.

Untuk undian fasa kedua boleh dibuat secara online menerusi tiga platform utama di laman rasmi AME 2021 di www.anugerahmeletopera.com.my, laman rasmi ERA di www.era.je, aplikasi SYOK serta melalui SMS sejak 14 Disember lalu hingga 30 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:47 AM