PENYAMPAI Radio, DJ Lin. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
PENYAMPAI Radio, DJ Lin. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


WALAUPUN sudah 14 tahun hidup solo selepas bercerai pada 2006, penyampai radio popular, DJ Lin mengakui dia sukar mencari pasangan.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 44, berkata, disebabkan komited pada kerjaya membuatkan dia selesa dengan apa dilalui sekarang.

Lin yang juga penyampai radio Suria FM berkata, dia pernah masuk pejabat sehari selepas bercerai dengan bekas suaminya.

“Buat masa sekarang, saya selesa dengan kehidupan bersama anak di samping menjaga ibu yang sedang sakit. Belum ada lagi sebarang perancangan untuk berkahwin buat kali kedua.

“Lagipun, sekarang susah nak mencari pasangan yang boleh terima dan faham jadual kerja saya yang boleh dikatakan setiap hari bekerja dari siang hingga malam.

“Saya sangat komited dengan kerja. Malah demi kerja, saya pernah masuk pejabat selepas sehari bercerai. Ketika itu, ramai yang bertanya macam mana boleh saya kawal emosi dan bekerja,” katanya.

Bagi Lin, apa yang membuatkan dia mampu untuk melalui semua itu adalah perlu bijak membezakan hal peribadi dan kerjaya.

“Bagi saya, kerja dan kehidupan peribadi perlu diasingkan. Tanggungjawab untuk kerja itu perlu dilakukan walau apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Lin yang juga Pengurus Kanan Suria FM berkata, dia sanggup melepaskan kerjayanya jika bertemu lelaki yang mampu menanggung kehidupannya di masa hadapan.

Dalam masa sama, Lin meletakkan sasaran untuk berkahwin pada tahun ini walaupun belum ada calon suami yang sesuai.

“Kalau ada lelaki yang boleh menampung kehidupan dan menerima saya bersama dua anak, saya okay dan sanggup berhenti kerja.

“Saya menyasarkan untuk berkahwin tahun ini walaupun belum ada calon. Kita boleh merancang, Allah yang tentukan. Saya percaya pada aturan Allah,” katanya.

Lin ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke 44 bersama kelab peminat, Djlinfollowers di Restoran Nelayan Steamboat Ampang, Selangor, Sabtu lalu.

Penyampai Radio Popular ABPBH31 itu bercerai pada 2006 dan hasil daripada perkahwinan itu dia mempunyai dua anak iaitu Nureen Aresya, 19, dan Nazren Asyran, 17.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:10 AM