DJ Lin dinobatkan Penyampai Radio Paling Dipercayai.
DJ Lin dinobatkan Penyampai Radio Paling Dipercayai.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia dalam anugerah Reader's Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid yang sudah lebih 24 tahun meniti karier di dalam industri radio tanah air meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan itu. 

"Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader's Digest buat kali ketiga. 

"Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana selepas lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai. 

"Terima kasih buat pihak penganjur, Majalah antarabangsa, Reader's Digest dan juga buat keluarga, rakan media, peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang Penyampai Radio," katanya. 

Tambah Pengurus Besar Suria FM itu lagi, dia akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya pendengar setia segmen kelolaannya, Suria Cinta. 

Anugerah ini menjadi anugerah ke-13 yang diterima Lin sepanjang karier seninya berlangsung. 

Anugerah Reader's Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang dipilih daripada lima negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 8:15 PM