Kumpulan
Kumpulan
Syanty Octavia Amry


BUAT kali pertama festival muzik Melayu terbesar yang diberi nama StereoFest bakal diadakan pada 22 dan 23 Februari depan.

Bertempat di Palawan Green, Sentosa, Singapura, acara yang berlangsung dua hari itu turut membabitkan 20 barisan artis popular dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mereka yang terbabit antaranya ialah New Boyz, Jaz, Zee Avi, Ayda Jebat, ANBS (Hyrul Anuar, Syed Azmir dan Fauzie Laily), Judika, Andi Bernadee, Elizabeth Tan, Ismail Izzani, Rahila Rashun dan ramai lagi.

Pengarah Urusan Adi Media Pte Ltd, Dian Rasid berkata, penganjuran ini bertujuan mengangkat martabat muzik Melayu di rantau Asia di samping menyediakan platform bagi penyanyi tempatan untuk berada di pentas yang sama sebagai artis terkenal.

“Ini adalah penganjuran kali pertama dan kami mahu memberikan peminat peluang lebih mendekatkan diri dengan artis pujaan mereka terutama peminat muzik Melayu.

“Tidak hanya persembahan artis popular, kami turut menganjurkan StereoSearch iaitu pertandingan mencari artis rakaman untuk industri muzik Melayu,” katanya.

Untuk peringkat awal, StereoSearch diadakan secara dalam talian dan lapan penyanyi akan mengadakan persembahan secara ‘live’ di CelebFest pada Disember ini.

Selain persembahan artis dan pertandingan nyanyian, StereoFest turut menawarkan jualan makanan dan minuman di Festival Village lokasi sama.

Bagi yang ingin menyaksikan StereoFest tiket boleh didapati menerusi laman web www.stereofest.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:10 AM