XPDC kini terdiri daripada Eddie (dari kiri), Lola, Izo dan Mael.
XPDC kini terdiri daripada Eddie (dari kiri), Lola, Izo dan Mael.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kira-kira 15 tahun lalu, XPDC bersama syarikat rakaman Life Rekod pernah merancang untuk mengadakan konsert berskala besar di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ketika itu, XPDC yang sinonim dengan muzik heavy metal turut merancang persembahan mereka diiringi pemuzik orkestra.

Ini berikutan sambutan hangat penjualan album mereka berjudul Un’Metal yang berkonsep sedemikian. Tambahan pula Metallica yang juga ikon mereka turut mengadakan konsert berkonsep sama waktu itu.

Bagaimanapun, segala impian itu gagal untuk direalisasikan.

Namun, penantian selama 15 tahun berakhir dan impian yang terkubur itu kembali menjadi realiti apabila XDPC akan mengadakan konsert mereka di Stadium Merdeka, Sabtu ini jam 8.30 malam anjuran Dualaris Event.

Konsert dinamakan Konsert Rockestra XPDC - Aku Masih Di Sini itu turut memberi pernyataan kumpulan itu masih bernafas.

Aku Masih Di Sini juga adalah judul satu daripada lagu popular mereka dan ia simbolik mengambarkan konsert yang diimpikan mereka bukan satu angan-angan kosong.

XPDC kini tampil bersama penyanyi asalnya, Mael dan Izo (gitar), Lola (dram) dan Eddie (bass).

Wakil penganjur, Salina Ali berkata, walaupun sebelum ini ada kumpulan rock yang membuat konsert diiringi orkestra dan konsep yang hampir sama, namun XPDC tetap akan menampilkan kelainan.

“Mereka sinonim dengan muzik heavy metal. Jadi mereka mahu peminat yang hadir nanti tidak hanya terpaku melayan gabungan muzik rock dan orkestra, tetapi turut ‘headbanging’,” katanya.

Menurutnya, XPDC bakal mempersembahkan 25 lagu popular mereka antaranya Aku Masih Di Sini, Raja Kertas, Semangat Yang Hilang, C.I.N.T.A, Kita Peng Yu, Ntahhapahapantah dan lagu baru mereka berjudul Khilaf.

Persembahan XPDC yang pernah digelar ‘Raja Funfair’ ini dibahagi kepada tiga segmen iaitu rock dan heavy­ metal, rangkaian lagu balada yang turut disampaikan secara medley dan segmen metal 60-an.

Untuk segmen metal 60-an, XPDC mengundang Ary yang juga bekas penyanyi utama kumpulan rock era 90-an, Fahrenheit sebagai artis undangan.

Sejak mula aktif pada 1989, sembilan pemuzik pernah mengganggotai XPDC seperti Izo (gitar), Mael, Ali (penyanyi), Lee Space, Amy, Lola (dram), Zuar, Yantoi dan Eddie (bass).

Tiket berharga RM350, RM95 dan RM50 boleh ditempah menerusi www.tickethotline.com.my atau e-mel [email protected].

Peminat juga berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan tiket bertuah tajaan JS Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:20 PM