Michelle Gun

Bintang filem Hunger ­Games, Liam Hemsworth dan penyanyi Miley Cyrus kini menjadi bualan hangat peminat dan media berikutan mereka dikatakan kembali bercinta.

Hemsworth, 26, dan Cyrus, 23, pernah bertunang pada 2012 selepas hampir tiga tahun mengenali hati budi masing-masing namun berpisah setahun kemudian.

Selepas berpisah, pasangan itu menjalin hubungan dengan kekasih baru.

Khabar angin dua selebriti terkenal itu kembali bercinta tersebar luas di Internet selepas ada individu mendakwa melihat mereka berpegangan tangan ketika tayangan perdana filem The Huntsman: Winter’s War, baru-baru ini.

Ia semakin hangat diperkatakan apabila timbul spekulasi pasangan itu sudah bertunang selepas Cyrus dilihat memakai cincin berlian 3.5 karat yang dihadiahkan Hemsworth.

Hemsworth ketika ditemu bual majalah TV Week bagaimanapun menafikan sudah bertunang dengan Cyrus.

Menyedari kisah percintaannya menjadi tumpuan media, Hemsworth berkata sejak cedera tulang belakang beberapa bulan lalu dia jarang keluar rumah.

“Saya banyak berehat di rumah. Lagipun saya tidak mahu menjadi perhatian orang ramai apabila keluar,” katanya.

Menurut pelakon itu, dia turut menyedari kehadiran helikopter yang berlegar di sekitar kediamannya.

Walaupun tidak bertunang, Cyrus meluangkan masa bersama kakak ipar Hemsworth, Elsa Pataky menikmati jamuan tengah hari di Los Angeles, Amerika Syarikat, petang Ahad lalu.

Malah, Pataky yang juga isteri pelakon Chris Hemsworth turut berkongsi gambar dengan penyanyi itu di laman sosial Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 11:04 AM