Miley dan  Liam.
Miley dan Liam.
Syafil Syazwan Jefri


PASANGAN selebriti, Miley Cyrus dan Liam Hemsworth semakin bahagia meneroka kehidupan mereka selepas berumah tangga.

Selepas berkahwin pada Disember tahun lalu, mereka meluahkan hasrat untuk menambah ahli keluarga dengan memiliki anak.

Sumber terdekat pasangan itu memberitahu, kehidupan mereka cukup bahagia walaupun masing-masing sibuk dengan karier seni.

“Miley belum hamil namun, dia mahukan anaknya hasil perkahwinannya dengan Liam. Dia juga nampak sangat bahagia. Baru-baru ini, Miley baru saja selesai merakamkan album akan datangnya,” katanya.

Selepas melalui pelbagai cabaran dan dugaan, hubungan mereka nampaknya semakin erat.

Antara yang paling terkesan adalah selepas kediaman mereka musnah akibat kebakaran hutan, Woolsey Fire yang melanda Los Angeles dan Ventura, November lalu.

Menurut sumber terdekat pasangan itu, tragedi itu menguatkan lagi hubungan cinta mereka.

“Tragedi itu berlaku sebulan sebelum majlis perkahwinan mereka. Selepas berdepan tragedi yang membuatkan mereka trauma itu, kedua-duanya semakin rapat,” katanya.

Ketika kejadian itu, Miley berada di Afrika Selatan dan dalam satu sesi temu bual program bual bicara Jimmy Fallon pada Disember, penyanyi lagu Climb itu berkata, Liam umpama adiwira buatnya.

“Pada waktu itu, saya berada di Afrika Selatan manakala Liam pula berada di lokasi tragedi dan berusaha menyelamatkan haiwan peliharaan kami.

“Dia berjaya memuatkan semua kuda, khinzir, tujuh anjing dan empat kucing kami di dalam trak serta menyelamatkan mereka. Bagi saya, itu sangat seksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:44 AM