ELLY Mazlien.
ELLY Mazlien.
Najiy Jefri


PELAKON Elly Mazlien mengesahkan bakal menamatkan zaman solonya dengan jejaka berusia lewat 20-an tahun depan.

Elly yang juga ibu tunggal ketika ditemui berkata, dia tidak sabar menunggu hari bahagia itu.

“Boleh dikatakan saya wanita paling bahagia saat ini. Saya bersyukur dipertemukan dengan insan paling istimewa.

“Saya tidak sabar menunggu hari paling bermakna kami yang dijangka berlangsung pada 2020.

“Butiran lanjut saya belum boleh kongsi buat masa ini. Bagaimanapun, saya akan kongsi dengan rakan media pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti Muzikal Lawak Superstar di ibu kota hari ini.

Menurut Elly, dia menganggap perkahwinan yang bakal berlangsung itu adalah yang ‘pertama’ buat dirinya.

“Ketika perkahwinan terdahulu ada banyak perkara yang tidak dapat saya realisasikan kerana arwah mama baru sahaja meninggal ketika itu.

“Jadi teringin majlis nanti meriah seperti perkahwinan selebriti lain. Saya nak jemput kawan-kawan rapat pada hari bersejarah nanti,” katanya.

Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Safhia Azmi, 2, namun mereka bercerai pada 15 Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:56 PM