RASHIDI Ishak.
RASHIDI Ishak.
Ardini Sophia Sina


KEMBALI menjalani kehidupan solo, aktor Rashidi Ishak mengakui Ramadan dan Aidilfitri sedikit berbeza tanpa kehadiran wanita bergelar isteri namun tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu.

“Memanglah rasa berbeza sebab 18 tahun sambut dengan isteri tetapi tahun ini hanya dengan anak-anak. Apa pun, rutin saya sebagai bapa masih sama. Saya masih sediakan persiapan untuk anak dan untuk diri sendiri secara sederhana.

“Tidak ada masalah untuk menyambut Aidilfitri bersama anak-anak sebab Vee (Vanidah Imran) juga tinggal di Kuala Lumpur dan kedua-dua ibu bapa juga datang ke sini,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti, pelakon berusia 46 tahun itu enggan terburu-buru dan belum bersedia memikirkan perkara itu buat masa ini. Bagaimanapun, dia tiada halangan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

Kata Rashidi, dia pelik dengan sikap netizen yang cepat bersangka buruk setiap kali dia memuat naik gambar bersama wanita di laman Instagram miliknya.

“Netizen memang cepat buat spekulasi apabila saya memuat naik gambar berdua dengan mana-mana wanita. Ada yang tulis komen kononnya wanita itu menjadi punca saya bercerai.

“Memang kelu lidah nampak komen begitu. Walaupun saya keluar minum kopi dan berbual berdua, itu tidak bermakna kami bercinta. Kawan-kawan saya tidak hanya lelaki tetapi ada juga wanita,” katanya.

Kata pelakon filem Bu itu, bukan mudah untuk dia kembali bercinta dan berkahwin selepas melalui episod perit apabila bahtera yang dibina bersama pelakon Vanidah Imran selama 18 tahun akhirnya musnah.

Tidak dinafikan, masih ramai yang mengharapkan agar pasangan itu kembali bersama. Bagaimanapun, Rashidi memohon agar peminat menghormati keputusan mereka.

“Memang tidak ada harapan tetapi saya tidak mahu cakap banyak kerana perjalanan hidup kita ini rahsia Allah. Semuanya itu adalah ketentuan Yang Maha Esa.

“Sehingga ke hari ini, masih ada lagi yang ‘tag’ nama saya di Instagram dia dan namanya di Instagram saya. Cukup-cukuplah kerana saya sendiri sudah berhenti berharap sejak lafazkan talak,” katanya.

Walaupun Rashidi dan Vanidah bukan lagi pasangan suami isteri, mereka masih berhubung atas urusan membabitkan anak-anak. Malah, dia juga tidak ada masalah andai digandingkan dengan bekas isterinya itu dalam mana-mana karya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:00 AM