Vanidah Iman dan Arifabillah melangsungkan pernikahan hari ini. Foto: @luxurycapturephotography
Vanidah Iman dan Arifabillah melangsungkan pernikahan hari ini. Foto: @luxurycapturephotography

Kuala Lumpur: Pelakon terkenal, Vanidah Imran, 49, sah bergelar isteri kepada Arifabillah Idris, 43, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di Titiwangsa, hari ini.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran jam 12.12 tengah hari.

Majlis dihadiri 50 tetamu terdiri di kalangan keluarga dan teman rapat pasangan terbabit. Vanidah dan Arifabillah yang juga seorang jurutera sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Vanidah yang juga Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 berkata, kembali bergelar isteri bukan sesuatu yang mudah namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.

"Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

"Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa sama tumpang gembira terhadap keputusan dibuat," kata meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dipertemukan jodoh bersama lelaki pilihannya.

Menurut Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.

"Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

"Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan," kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dalam majlis berlangsung sederhana namun penuh bermakna itu sentuhan perancang perkahwinan @ezsconcept, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.

Arifabillah yang juga pesilat negara pernah meraih pingat perak pada Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Cheongju, Korea Selatan pada 2016.

Terdahulu, Vanidah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pemuzik, Rashidi Ishak pada Oktober 2000 serta dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada Ogos 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:21 PM