Ardini Sophia Sina


PELAKON Rashidi Ishak mengakui masih menyayangi dan tetap membuka pintu hati untuk bekas isterinya, Vanidah Imran walaupun tidak lagi hidup sebagai suami isteri.

Kata pelakon filem Sindiket itu, anak, keluarga dan rakan turut memujuk supaya mereka berbaik semula namun belum tiba masanya lagi untuk memikirkan perkara itu.

“Sudah pasti masih sayang. Siapa tak sayang, 17 tahun tempoh perkahwinan dan 18 tahun berpacaran.

“Masa bercerai pun saya cakap dengan dia, beritahu akan terus mencintai dia sehingga hujung nafas, tanpa syarat dan tidak berpenghujung,” katanya.

Katanya, walaupun tidak lagi bersama tetapi itu tidak bermakna dia tidak lagi sayang atau mencintai bekas isterinya.

“Memang anak, rakan dan keluarga pujuk untuk kami berbaik semula tetapi rasanya belum masanya lagi kerana baru saja melalui situasi ini.

“Kami gembira dengan jalan yang kami pilih. Kalau ada, saya tidak pernah tutup hati untuk dia,” katanya.

Selepas mendedahkan status rumahtangganya menerusi Instagram semalam, timbul pula spekulasi Rashidi sudah mempunyai pengganti berikutan gambar Fify Azmi banyak dimuat naik di akaun laman sosialnya.

Menjelaskan perkara itu, kata Rashidi, hubungannya dengan wanita itu hanya sebagai rakan dan gambar berdua di Instagram itu adalah kempen memperkenalkan jenama sebuah minyak wangi.

“Dia adalah bekas pekerja saya ketika bertugas di stesen radio internet, Peace Yall FM. Saya tidak ada hubungan istimewa dengan Fify.

“Ketika membuat perancangan untuk kempen minyak wangi, saya minta bantuan Fify. Kalau panggil pelakon kelas A, bayaran mereka tinggi sedangkan bisnes ini pun baru saja bermula.

“Saya simpati dengannya kerana warganet serang dia di Instagram. Tapi, ingin saya jelaskan bahawa tidak ada siapa-siapa dan fokus kini adalah pada anak, bisnes, promosi filem dan penggambaran yang akan bermula April nanti,” katanya.

Terdahulu, Rashidi menerusi entri di Instagram mengakui dia dan Vanidah sudah bercerai pada 9 Ogos 2018. Mereka sengaja merahsiakan perkara itu kerana menghormati keluarga masing-masing.

Rashidi, 46, dan Vanidah, 46, mendirikan rumah pada 1 Oktober 2000 serta dikurniakan dua anak iaitu Mikhail Imran, 18, dan Maryam Rashika, 15.

Khabar angin mengenai perceraian pasangan itu diperkatakan sekitar Ogos tahun lalu, bagaimanapun mereka enggan mengulas lanjut.

Berita berkaitan

Rashidi, Vanidah akhirnya mengaku bercerai

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:08 PM
RASHIDI beritahu Vanidah akan terus mencintainya sehingga hujung nafas, tanpa syarat dan tidak berpenghujung. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
RASHIDI beritahu Vanidah akan terus mencintainya sehingga hujung nafas, tanpa syarat dan tidak berpenghujung. FOTO Nurul Syazana Rose Razman