RASHIDI dan Vanida mengaku bercerai pada 9 Ogos tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
RASHIDI dan Vanida mengaku bercerai pada 9 Ogos tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Ardini Sophia Sina


TEKA-teki krisis rumah tangga pelakon Rashidi Ishak, 46, dan Vanidah Imran, 46, akhirnya terungkai apabila aktor berkenaan tampil mendedahkan mereka sudah pun bercerai pada 9 Ogos 2018.

Rashidi menerusi Instagram berkata, mereka sengaja merahsiakan perkara itu bagi melindungi dan menghormati perasaan keluarga serta ingin menjaga privasi.

"Saya minta maaf kerana merahsiakan berita dan maklumat ini. Saya dan Vanidah secara rasmi mengakhiri rumah tangga yang dibina selama 17 tahun di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

"Dari lubuk hati paling dalam, saya ingin berterima kasih kepada anda semua yang selalu menyokong kami terutamanya sokongan anda kepada Vanidah, yang berjaya dalam karier dan kehidupannya," katanya.

Pelakon filem Untuk Tiga Hari itu berkata, kegagalan pentadbiran dalam mana-mana institusi adalah disebabkan kelemahan pemimpin dan tidak cekap.

"Didorong oleh rasa tidak puas hati dalam tempoh yang lama selain rasa ditindas oleh pemimpin, perubahan adalah apa yang mereka inginkan.

"Dalam perkahwinan, keruntuhan rumah tangga adalah kesalahan imam. Mungkin benar atau sebaliknya tetapi pemimpin yang baik akan selalu bersinar sama ada dalam situasi buruk mahupun baik.

"Saya bukanlah seorang imam yang baik," katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua anak iaitu Mikhail Imram dan Maryam Rashika.

Terdahulu, khabar angin mengenai perceraian pasangan itu diperkatakan sekitar Ogos tahun lalu, bagaimanapun mereka enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:45 PM