NOH menunjukkan poster Program Dungun Have Heart di Banglo 606, Kampung Sura Hujung, Dungun pada 27 April ini. FOTO Ghazali Kori.
NOH menunjukkan poster Program Dungun Have Heart di Banglo 606, Kampung Sura Hujung, Dungun pada 27 April ini. FOTO Ghazali Kori.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KERINDUAN peminat kumpulan Hujan di Terengganu bakal terubat apabila vokalisnya, Noh Salleh, 34, atau lebih dikenali sebagai Noh Hujan akan membuat persembahan amal pada Program Dungun Have Heart di Banglo 606, Kampung Sura Hujung, Dungun, 27 April ini.

Program pertama kali dianjurkan itu bermula 8 malam membabitkan persembahan pembukaan oleh Naquib Mohamed selain dimeriahkan dengan kehadiran 20 kanak-kanak Syria melalui Cinta Syria Malaysia.

Noh berkata, persembahan itu untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Tabung Cinta Syria Malaysia sempena Ramadan ini.

“Peminat dan pengunjung pada malam persembahan itu boleh memberikan sumbangan mengikut kemampuan dan sumbangan itu akan disalurkan terus kepada pelarian memerlukan di Syria pada Ramadan ini.

“Saya bersama isteri, Mizz Nina; Aizat Amdan dan Altimet akan ke Syria pada Ramadan ini untuk menghantar segala keperluan itu, sekali gus menjalankan khidmat sukarela kepada pelarian Syria di kem pelarian di sana.

“Harapan kami, usaha dijalankan ini dapat membantu pelarian di sana mengerjakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin selain memberi peluang kepada penduduk di Terengganu untuk turut serta menjayakan misi dengan dengan sumbangan diberikan,” katanya.

Sementara itu, penganjur program, Mohd Idzaidin Mad Din berkata, program itu bermula pada 26 April membabitkan pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong membersih kubur Sura Hujung, persembahan akustik oleh Amir Jahari dan aktiviti mewarna dinding atau mural serta mencanting batik bersama anak Syria.

“Pada hari kedua, kami menganjurkan ‘fun ride’ selain perkongsian santai bersama sukarelawan Cinta Syria Malaysia dan pada 8 malam, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan akustik bersama Noh Hujan.

“Pada malam persembahan nanti, kami tidak mengenakan apa-apa bayaran cuma pihak penganjur akan sediakan tabung Cinta Syria Malaysia untuk mengumpul seberapa banyak sumbangan untuk disalurkan kepada pelarian Syria pada Ramadan nanti,” katanya.

Menurutnya, dia berharap program amal itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di Terengganu, khususnya peminat kumpulan Hujan.

Katanya, selain berhibur dengan persembahan Noh, mereka berpeluang untuk beramah mesra dan merakam gambar bersama Noh selepas persembahan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 12:24 AM