NOH hiburkan peminat dengan lagu Musim Ujan.  FOTO  Hazreen Mohamad
NOH hiburkan peminat dengan lagu Musim Ujan. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


SEKALIPUN dilabelkan band 'Tier 2' di negara mereka namun Parade Hujan dan Sore membuktikan mereka mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

Persembahan menerusi Konsert Senandung Malam - Parade Hujan X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) berjaya membuai peminat dengan himpunan pelbagai genre lagu khususnya lagu-lagu galau.

Berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, baru-baru ini konsert anjuran Neptunes Presents itu berjaya menarik kehadiran hampir 4,000 penonton.

Sore dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram) memulakan persembahan sekitar jam 8 malam dengan membawakan 21 lagu termasuk lagu hit berjudul Karolina, Pergi Tanpa Pesan, Mata Berdebu, Somo Libres dan Setengah Lima.

Setengah jam kemudian kemunculan Noh yang juga vokalis Hujan turut menarik perhatian peminat yang terus melekat di dewan itu.

Kolaborasi Noh bersama Sore menunjukkan keserasian menerusi lagu Angin Kencang. Mereka turut menyampaikan lagu popular Sore iaitu Musim Ujan daripada album Sorealist.

Atilia juga tidak ketinggalan menghibur penonton menerusi lagu popularnya, Silly Little Thing.

Persembahan Ernie mendapat pujian peminat. FOTO  Hazreen Mohamad
Persembahan Ernie mendapat pujian peminat. FOTO Hazreen Mohamad

Diikuti giliran band Parade Hujan yang tampil menyampaikan 17 lagu popular yang dipetik daripada album Dunia Batas, Ruang Tunggu, Mendengar Suara termasuk album terbaharu, Datang.

Sebelum ini, Payung Teduh yang dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar) dan bekas vokalisnya, Pusakata pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur, tahun lalu.

Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad kini bergabung semula dengan Payung Teduh dan dikenali sebagai Parade Hujan.

Malah, kehadiran Ernie sebagai penyanyi undangan Parade Hujan ternyata menghangatkan lagi suasana konsert band yang didatangkan dari Indonesia itu apabila kedua-duanya menyanyikan lagu Mari Bercerita dan Berdua Saja.

Ramai peminat yang memuji persembahan gandingan Ernie dan Parade Hujan yang disifatkan mempunyai vokal yang klasik dan mampu menyanyikan pelbagai genre lagu dengan baik.

Sementara itu, Penganjur yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, perancangan menjayakan konsert Senandung Malam bagi edisi ke-3 berlangsung dengan jayanya dan mendapat respon yang baik daripada peminat di negara ini.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Parade Hujan dan Sore atas persembahan luar biasa ini disamping mereka termasuk krew di belakang tabir yang memastikan konsert ini berlangsung dengan baik seperti di rancang.

"Tidak dilupakan penampilan bintang tempatan seperti Noh, Ernie dan Atilia. Selain persembahan mantap oleh kedua-dua kumpulan diiringi alunan muzik oleh pemain orkestra tempatan, Agal Musik Esemble diterajui Suffren dan rakan-rakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 6:23 AM