Sore berduet bersama Noh. Foto Hazreen Mohamad
Sore berduet bersama Noh. Foto Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Kemunculan penyanyi Noh Salleh di Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) malam tadi mencuri perhatian peminat.

Vokalis kumpulan Hujan yang minggu lalu menamatkan zaman duda bersama gadis pilihan hatinya, Athira Mustapa dalam satu majlis tertutup baru-baru ini kelihatan ceria.

Sekalipun tampil sebagai artis jemputan Noh ketika melangkah keluar untuk menjayakan persembahan yang diiringi kumpulan Sore nampak tenang sambil melambai peminat.

Noh juga tidak segan silu menyapa isterinya yang hadir di konsert yang berlangsung di Mega Star Arena di sini.

"Hi semua (sambil melambaikan tangan kepada peminat)... syukur dapat menjayakan persembahan malam ini... ini juga adalah persembahan pertama saya selepas menikah tempoh hari... pengantin barulah katakan... Hi Yang (Sayang) ... (sambil menunjukkan jari ke arah isterinya yang berada dalam kelompok sekumpulan penonton di depan pentas).

"Sambutan penonton cukup baik hari ini... tu nampak ramai.. Neptunes Present (penganjur) kata tiket tak jual tiket tak jual... tipulah." katanya yang menyampaikan lagu Musim Hujan dan Angin Kencang.

Nyata hubungan baik dan sering berkongsi mengenai hala tuju muzik sejak dahulu membuatkan persembahan mereka tampak serasi.

Parade Hujan tampil pada Konsert Senandung Malam Parade Hujan X Sore. Foto Hazreen Mohamad
Parade Hujan tampil pada Konsert Senandung Malam Parade Hujan X Sore. Foto Hazreen Mohamad

Terdahulu turut menjayakan persembahan itu Atilia menerusi lagu Silly Little Thing serta Essensimo diiringi kumpulan Sore manakala Ernie Zakri pula muncul berduet bersama Parade Hujan dengan lagu Berdua Saja dan Mari Bercerita.

Sore dan Payung Teduh juga ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan.

Untuk rekod, Payung Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Payung Teduh dan Pusakata yang kini bergabung sebagai Parade Hujan.

Sore pula dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram).

Payung Teduh popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja, manakala Sore terkenal dengan lagu Pergi Tanpa Pesan, Setengah Lima dan Mata Berdebu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:53 PM