ALTIMET kini mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga dan menyertai aktiviti luar selepas bersara sebagai penyanyi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ALTIMET kini mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga dan menyertai aktiviti luar selepas bersara sebagai penyanyi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Georgie Joseph


KOMPOSER Altimet bakal menyertai misi kemanusiaan pelarian Syria di Turki buat kali pertama pada pertengahan Ramadan nanti bersama rakan artis seperti Noh Hujan dan Aizat Amdan.

Altimet, 41, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, dia juga bakal membawa anak sulungnya Abdullah, 13, ke sana bagi memberi pendedahan serta pengalaman buatnya.

“Pada 16 Ramadan nanti, saya menyertai Noh dan Aizat dalam Misi Cinta Syria Malaysia ke Turki dan Lubnan. Kami akan berada selama 10 hari di sana untuk mengagihkan sumbangan rakyat Malaysia di empat kem pelarian.

“Ini pertama kali saya menyertai misi kemanusiaan disebabkan kini ada masa lebih berbuat demikian. Lagipun ia jatuh pada Ramadan dan saya mahu lakukan sesuatu yang jauh lebih menyeronokkan berbanding kerja.

“Saya juga ambil peluang ini untuk membawa anak sulung ke sana. Saya nak dia tengok kehidupan dan bagi pengalaman bagaimana nasib orang di sana,” katanya.

Altimet juga bersyukur masanya kini banyak dihabiskan dengan keluarga selepas mengumumkan bersara sebagai penyanyi pada tahun lalu.

“Sekarang setiap hujung minggu saya banyak dihabiskan di rumah. Keluarga sudah dapat saya semula untuk bersama mereka dan paling seronok adalah mak.

“Saya meluangkan masa pergi makan di rumahnya atau dia datang ke rumah dan kami akan masak untuknya.

“Bagaimanapun, rutin kerja serta kesibukan saya tetap sama seperti sebelum ini. Namun, biasanya selepas Maghrib memang saya akan terus balik rumah,” katanya.

Meskipun sudah tidak menyanyi, penyanyi Amboi itu masih aktif sebagai komposer dan tidak menolak peluang jika diberikan peluang beraksi di pentas teater muzikal.

“Sekarang saya lebih banyak buat lagu untuk artis lain. Saya juga bakal terbabit sebagai penulis lirik lagu dalam sebuah projek Puan Sri Tiara Jaqcuelina.

“Setakat ini, saya cuma diberikan peranan itu namun tidak menolak jika ditawarkan berlakon dalam mana-mana pementasan muzikal.

“Perkara itu menyeronokkan saya dan sesuatu yang sangat baru untuk diterokai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:21 PM