SHEILA akui  sayang Janna seperti anak sendiri.
SHEILA akui sayang Janna seperti anak sendiri.
Norhayati Nordin

"HANYA tuan punya badan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tanya apa yang dia buat terhadap saya dan keluarga hingga kami berasa sangat kecil hati," kata penerbit drama terkenal, Sheila Rusly.

Ia berhubung isu ditimbulkan netizen baru-baru ini mengenai sindir-menyindir di antara Sheila dengan pelakon popular, Janna Nick.

Mengulas mengenai sindiran dimaksudkan, Sheila berkata, perkara itu tidak berlaku seperti dakwaan kebanyakan netizen yang rata-ratanya mengecam dan menyelar tindakan Sheila.

“Kepada mereka yang tidak tahu hujung pangkal dan cerita sebenar, tidak perlulah memberi komen. Jangan buat dosa dengan komen ditulis itu. Apa pun, saya sudah maafkan mereka dan tidak mahu memanjangkan cerita ini," katanya ketika dihubungi.

Sheila berkata, dia enggan bercerita mengenai apa sebenarnya yang berlaku kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsi dan dia tidak mahu membuka aib orang.

“Saya tahu selama ini semua orang tahu betapa saya sangat sayangkan dia (Janna). Malah, drama Leftenan Zana itu pun saya bersama suami, Jinggo berusaha terbitkan demi merealisasi impiannya yang ingin berlakon dalam drama ketenteraan.

“Saya akui sangat sayangkan dia seperti anak sendiri. Cuma, hanya dia yang tahu apa sudah dibuatnya pada saya dan keluarga hingga kami sangat sedih dan berkecil hati," katanya.

Menurut Sheila, selama ini dia dan suami lebih selesa untuk berdiam diri. Dia juga sudah lali dengan sepak terajang yang berlaku dalam industri hiburan.

Dalam pada itu, Sheila turut menafikan apa yang berlaku itu sebagai 'gimik' untuk membantu menaikkan 'rating' drama Leftenan Zana yang kini ditayangkan di slot Lestary TV3 setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan drama. Setakat ini, sambutan diterima terhadap drama Leftenan Zana sangat baik. Saya berterima kasih dan bersyukur dengan sambutan itu kerana bukan mudah menghasilkan karya berkaitan tentera dan menyuntik semangat patriotik kepada generasi muda," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Janna yang diminta mengulas isu terbabit enggan memberi komen, namun mengakui dia sangat menghormati Sheila.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:03 PM