Norhayati Nordin


“SAYA sudah pernah minta maaf secara peribadi dengan pihak berkenaan sebelum ini tetapi andai itu tidak mencukupi, sekarang saya mohon maaf secara terbuka pula,” kata pelakon dan pengacara Janna Nick.

Janna, 24, ketika ditemui berkata sekiranya tuntutan maaf secara terbuka itu masih tidak mencukupi, jalan terakhir baginya adalah memohon keampunan daripada Allah SWT.

“Saya cuma inginkan hubungan yang keruh ini kembali jernih semula. Kalau tidak boleh rapat seperti dulu, asalkan tidak ada dendam,” katanya.

Menurut Janna, permohonan maaf secara terbuka kepada penerbit dan pelakon Sheila Rusly dilakukan seandainya ada kesilapan yang datang daripada pihaknya yang mengguris perasaan wanita itu.

“Saya seboleh mungkin enggan membuka mulut atau bercakap buruk di depan atau belakang dia (Sheila) yang sudah dianggap sebagai ibu, guru dan juga senior dalam industri.

“Saya sebolehnya tidak mahu memberi komen mengenai apa yang sebenarnya berlaku di antara kami. Sebagai anak didiknya, saya sedar banyak terhutang budi dan tak layak buka mulut,” katanya. Menurut Janna, apabila ramai yang mengaitkan ‘posting’ yang dimuat naik itu ditujukan kepadanya, dia (Janna) hanya boleh meminta maaf.

JANNA berharap hubungannya dengan Sheila kembali pulih. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
JANNA berharap hubungannya dengan Sheila kembali pulih. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Terdahulu, Janna hadir ke majlis pelancaran Vivo V15 & V15 Pro di Sunway Pyramid petang tadi. Janna berpendapat segala permasalahan yang timbul sepatutnya dibawa berbincang seperti menyelesaikan masalah keluarga dan bukannya menggunakan media atau media sosial.

“Sedih juga bila isu ini terjadi dan saya rasa tak sesuai dikongsi dengan orang ramai sebab kami terlalu rapat.

“Saya rasa orang pun tahu kami rapat macam sebuah keluarga,” katanya.

Ditanya tidakkah dia pernah cuba bersemuka dengan Sheila, Janna menegaskan dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Yelah, kita datang tak diundang, ibaratnya letak kaki kanan salah, letak kaki kiri pun salah,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Janna berkata permasalahan itu bermula ketika penggambaran drama Leftenan Zana.

“Leftenan Zana sebuah cerita yang sangat susah. Cerita yang sangat perit dan masing-masing ada tekanan. Malah selepas berlakon, hati saya pun jadi kering macam askar sebenar.

“Sampaikan bila saya masuk set drama baru, susah untuk saya jayakan babak menangis hingga terpaksa menggunakan pelbagai teknik. Itulah pertama kali dalam karier saya.

“Bila selesai penggambaran, apa saja dugaan saya boleh terima. Malah apabila Leftenan Zana ditayangkan, saya sangat sebak dan hingga kini masih terus mempromosikan drama ini,” katanya.

Menurut Janna lagi, dia berharap Sheila terbuka hati untuk memaafkannya dan hubungan mereka kembali pulih.

“Saya harap ini adalah kali terakhir saya bercakap mengenai isu ini dan sekiranya saya buat salah, saya minta maaf sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:41 PM