JANNA mahu terus ke depan. FOTO NSTP.
JANNA mahu terus ke depan. FOTO NSTP.
Ramlah Zainal


“SAYA rasa sudah selesai menjadi anak murid yang menimba ilmu. Sudah tiada apa yang perlu diperkatakan lagi dan inilah kata-kata saya yang terakhir dan menjadi noktah,” kata pelakon popular Janna Nick ketika diminta mengulas mengenai kontroversi membabitkan dirinya dengan pelakon dan penerbit Sheila Rusly yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Janna ketika ditemui berkata, dia enggan lagi mengulas mengenai kontroversi terbabit kerana tidak mahu memanjangkannya lagi.

“Saya berharap tiada pihak yang bertanya lagi mengenai isu itu selepas ini,” katanya.

Janna ditemui ketika mempromosikan Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL) bersama duta DFKL 2019 yang juga pelakon Izzue Islam di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai promosi drama bersiri 16 episod Leftenan Zana pula, Janna berkata, dia tetap mempromosikan drama lakonannya itu di Instagram setiap hari.

“Sebagai pelakon utama saya tetap menjalankan tanggungjawab untuk mempromosikan drama bersiri itu di laman sosial seperti dikehendaki penerbit.

“Alhamdulillah, drama itu mendapat sambutan hangat penonton dan mencatat rating paling tinggi di Slot Lestary TV3 setakat ini.

“Saya juga berasa puas kerana kerja keras untuk merealisasikan drama itu ternyata berbaloi,” katanya. Drama bersiri Leftenan Zana arahan Jinggo dan terbitan JS Pictures turut menampilkan lakonan Sheila Rusly, Tunku Hanis dan Redza Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 6:48 PM