ISU keluarga diberi penekanan di dalam sekuel ini.
ISU keluarga diberi penekanan di dalam sekuel ini.
ANTARA babak lucu di dalam Incredibles 2.
ANTARA babak lucu di dalam Incredibles 2.
KELUARGA adiwira popular kembali selepas 14 tahun.
KELUARGA adiwira popular kembali selepas 14 tahun.
Amirul Haswendy Ashari.


Tempoh 14 tahun bukanlah singkat untuk sesebuah filem animasi yang pernah mencatat sejarah tersendiri kembali ke pawagam.

Filem animasi keluarga adiwira, The Incredibles tidak pernah dilupakan walaupun sebahagian besar peminatnya sudah meningkat remaja dan dewasa jika dikira dari segi usia peminat filem ini pada 2004.

Pengarah dan penulis sekuelnya, Incredibles 2 iaitu Brad Bird berkata, sekuel kepada filem animasi popular lebih sedekad lalu ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

“Ia menjadi sebahagian daripada keluarga adiwira yang tidak pernah meninggalkan saya.

“Paling menyeronokkan buat filem adalah menghasilkan The Incredibles pada 2004 dan saya sentiasa memasang niat mahu kembali,” katanya.

Tahun ini dijadikan tahun bertuah buat peminat setia filem ini apabila dapat menyaksikan aksi Mr Incredible, Elastigirl dan tiga anak mereka, Violet, Dash serta Jack-Jack.

Dalam sekuel ini, Bird mengutip semula idea terakhir yang ditinggalkan ketika rendisi pertama lalu.

Bird yang juga meminjamkan suara untuk watak Edna Mode berkata, adalah penting baginya untuk tidak ‘melompat’ ke masa depan.

“Saya tidak berminat membuat filem seperti itu sebab memilih kuasa yang ada di sekeliling watak dimiliki setiap karakter dalam keluarga.

“Bapa sentiasa dianggap sebagai kuat, jadi saya buatkan dia lebih kuat. Ibu pula selalu dilihat mampu melakukan lebih 10 perkara pada satu masa, jadi saya jadikan dia mampu meregang.

“Remaja pula selalu berasakan dirinya kurang yakin dan melawan, jadi saya buatkan dia ada medan kuasa dan halimunan, kanak-kanak berusia 10 tahun selalunya bertenaga, mamakala bayi pula tiada siapa tahu, mungkin ada kuasa dan mungkin, tidak?” katanya.

Bird berkata, semua kuasa itu berfungsi jika mereka berada pada usia yang sepatutnya, bukan dewasa seiring dengan tempoh penantian filem sekuel.

Sekuel ini juga menunjukkan plot yang agak relevan terutama dalam mengaitkan gerakan penguasaan wanita di Hollywood era ini.

Contohnya watak Elastigirl yang dipanggil untuk menyelamatkan dunia, manakala Mr Incredible tinggal di rumah menjaga anak.

Melihat usaha Bird pada filem ini selama empat tahun, penerbitnya, Nicole Paradis Grindle menyifatkan situasi ini sebagai relevan yang tidak disangka-sangka.

Grindle berkata, filem pertama mempunyai ramai watak wanita yang kuat dan Bird mempunyai idea mahukan Helen (Elastigirl) menjadi adiwira yang menyelesaikan misi 14 tahun lalu.

“Kemudian idea yang mereka sendiri tidak tahu Jack-Jack juga ada kuasa luar biasa dan idea inilah yang mahu diceritakan.

“Namun, timbul pula isu masa dan apa yang boleh saya katakan itu bukanlah pesanan di dalam filem, sebaliknya begitulah cara kita hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Sophia Bush yang memegang watak adiwira wanita bernama Voyd mengakui The Incredibles adalah filem terbitan Pixar paling diminatinya sejak pertama kali muncul 2004 lalu.

Bush berpendapat adalah sangat penting untuk mengeluarkan sedikit rasa histeria di dalam perbalahan mengenai kesamarataan serta kebaikan dan filem ini mempunyai kapasiti untuk melakukannya.

Pelakon itu berkata, peminat yang tidak bersetuju semua orang patut diperkuatkan akan berkata ‘tidak’ kepada isu ini.

“Mungkin tidak untuk itu atau mungkin kata, ia adalah mengarut! Apabila menonton filem ini pastinya mereka akan teruja, malah akan mendakwa situasi dialami keluarga adiwira ini kerana masing-masing sedang mencari siapa yang harus diberi sokongan, bagaimana mengurus tiga anak pelbagai ragam dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Holly Hunter yang kembali sebagai Elastigirl memberi sentimen aura sama iaitu menyatakan perlu ada pertukaran tanggungjawab gender yang bersifat tradisional.

Dia berpendapat, banyak keluarga yang masa ini hidup dalam keadaan wanita menjadi tunjang keluarga dan mungkin memiliki pendapatan lebih tinggi berbanding lelaki.

“Situasi itu adalah perkara biasa dan menjadi ahli keluarga, ada tanggungjawab yang sangat besar dalam membesarkan anak dan ia indah dikongsi bersama pasangan masing-masing” katanya.

Filem sekuel Incredibles 2 menampilkan Craig T Nelson, Holly Hunter, Samuel L Jackson, Bob Odenkirk, John Ratzenberger, Sophia Bush dan Sarah Vowell akan ditayangkan mulai 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 4:42 AM