FILEM Peter Rabbit temui penonton Malaysia 15 Mac ini.
FILEM Peter Rabbit temui penonton Malaysia 15 Mac ini.
Susunan Michelle Gun


Baru saja ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat dan Kanada, filem animasi Peter Rabbit sudah mencetuskan kontroversi panas membabitkan isu alahan makanan.

Kontroversi itu timbul hanya kerana arnab Peter dan beberapa rakannya menyerang lelaki bernama Mr McGregor dengan membaling beri hitam.

Lelaki berkenaan sebenarnya alah terhadap beri hitam dan mula mengalami sesak nafas.

Susulan itu, ramai ibu bapa menentang animasi kanak-kanak terbitan Sony Pictures terbabit dengan ada bertindak memboikotnya.

Lapor portal CNN, ibu bapa yang mempunyai anak alahan terhadap buah itu bertindak meluahkan kebimbangan mereka di Twitter menerusi #boycottpeterrabbit.

Dalam pada itu, Sony Pictures meminta maaf kerana memaparkan babak alahan makanan dalam Peter Rabbit.

“Kami memandang berat isu alahan makanan. Filem ini tidak sepatutnya memandang ringan terhadap masalah alahan Mr McGregor walaupun dalam bentuk kartun.

“Pihak kami amat kesal kerana kurang kesedaran dan sensitif terhadap isu berkenaan. Kami meminta maaf,” katanya.

Peter Rabbit adalah cerita klasik kanak-kanak Britain ciptaan penulis Beatrix Potter yang mengisahkan seekor arnab nakal dan degil yang sering menceroboh masuk kebun Mr McGregor.

Animasi komedi arahan Will Gluck itu menampilkan barisan pelakon suara James Corden, Daisy Ridley, Margot Robbie dan Elizabeth Debicki.

Ia akan menemui penonton di Malaysia mulai 15 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:02 AM