DISNEY kini tampil dengan animasi terbaru Spider-Man yang lebih menarik.
DISNEY kini tampil dengan animasi terbaru Spider-Man yang lebih menarik.
Michelle Gun


Siapa tidak mengenali Spider-Man, adiwira kesayangan kanak-kanak dan dewasa sejak era 1960-an lagi.

Jadi, tidak menghairankan apabila kisah adiwira terkenal komik Marvel ini sudah banyak kali diadaptasi ke layar perak dan siri animasi.

Selepas tayangan filem Spider-Man: Homecoming Julai lalu, Disney kini memperkenalkan siri animasi baru Marvel’s Spider-Man yang kini bersiaran di saluran Disney XD (Astro saluran 617).

Berbeza dengan siri animasi Ultimate Spider-Man sebelum ini, Marvel’s Spider-Man mengetengahkan kisah Peter Parker berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sebagai adiwira dan pelajar pintar sekolah menengah Horizon High.

Istimewanya, siri baru ini turut memperkenalkan rakan sepasukan Spider-Man yang juga rakan sekelas Peter dan turut membantu membanteras jenayah menggunakan kuasa luar biasa mereka.

Penerbit Penyelia Marvel’s Spider-Man, Marsha Griffin berkata, kisah asal Peter Parker menemui kuasa ajaibnya diperkenalkan semula kerana sudah lama tidak diketengahkan di kaca televisyen.

“Walaupun terdapat ramai adiwira terkenal daripada komik Marvel, Spider-Man tetap menjadi pujaan ramai. Tambahan pula, ada juga siri animasi mengisahkan beberapa adiwira Marvel sudah dikeluarkan sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Biarpun jalan ceritanya ada beberapa persamaan dengan Spider-Man: Homecoming, Marsha berkata, kedua-dua siri animasi dan filem itu tiada kaitan langsung.

“Dalam siri animasi ini, penonton dapat lihat bagaimana Peter berusaha untuk menyesuaikan diri dengan orang sekeliling.

“Memandangkan sudah ada banyak filem dan siri Spider-Man diterbitkan, tidak dinafikan produksi memang berdepan sedikit cabaran untuk memberi kandungan segar dan menarik penonton dan pada masa sama mengekalkan karakter asal adiwira itu.

Tidak melupakan juga sikap Spider-Man yang gemar membuat jenaka. Marsha berkata, siri animasi berkenaan juga padat dengan dialog serta babak melucukan.

“Membuat jenaka adalah salah satu kelebihan Spider-Man ketika berdepan dengan musuh. Memandangkan siri animasi ini untuk penonton cilik, produksi memastikan lawak diketengahkan sesuai untuk golongan berkenaan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Marvel’s Spider-Man, Penerbit Eksekutif, Cort Lane berkata, adiwira Iron Man akan membuat beberapa penampilan dalam siri animasi itu namun tidak akan mereka sut untuk Peter seperti dalam Spider-Man: Homecoming.

“Peter seorang yang sangat pintar dalam bidang sains dan dia tiada masalah mereka sendiri sut biarpun pakaian adiwira itu bukan sempurna. Dalam siri ini, sut yang dipakai Peter juga berlainan daripada filem,” katanya.

Rakan sekelas Peter yang membentuk pasukan Spider-Man adalah Gwen Stacy (Spider-Gwen), Anya Corazon (Spider-Girl) dan Miles Morales (Kid Arachnid).

Mereka berganding bahu menghalang penjahat Vulture, Lizard, Sandman dan Doctor Octopus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:47 PM