Diana (kanan) dan Lina jumpa Shuhaimi untuk berbincang. FOTO Arkib NSTP.
Diana (kanan) dan Lina jumpa Shuhaimi untuk berbincang. FOTO Arkib NSTP.
Ardini Sophia Sina


PRODUSER Diana Johor menganggap kemelut yang timbul antara produksi miliknya bersama kembar, Lina Johor dengan pengarah muda, Shuhaimi Zulkefli sudah pun berakhir.

Kata Diana, Shuhaimi memuat naik status permohonan maaf secara terbuka di Facebook malam tadi selepas mereka berjumpa dan berbincang mengenai kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini.

“Saya dan Lina ada berjumpa dengannya semalam bagi membincangkan isu berkenaan. Saya anggap semua sudah selesai kerana dia sudah membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebook dan berjanji tidak akan memadamkan status itu.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menimbulkan fitnah dan mengaibkan seseorang. Orang ramai yang tidak tahu apa-apa mula membuat spekulasi tanpa usul periksa,” katanya.

Diana yang juga pelakon berkata, dia tidak mahu memanjangkan hal itu dan enggan mengulas lebih lanjut. Dia juga berharap agar tidak ada lagi hal berbangkit pada masa akan datang.

Terdahulu, Shuhaimi mendakwa dia serta kru produksi filem Peransang Rentap belum mendapat bayaran daripada syarikat Unique Twins Sdn Bhd yang menerbitkan naskhah berkenaan tahun lalu.

Pengarah itu juga mendakwa produksi juga belum melangsaikan bayaran katering, orang asli, pengurus resort, pengusaha sewa bot sehinggalah kepada pelakon tambahan yang diimport dari luar negara.

Shuhaimi turut mempersoal kebenaran dakwaan produksi itu Unique Twins menerima dana RM4 juta, selepas dua kali gagal menyiapkan filem Rentap.

Sementara itu, Shuhaimi menerusi Facebook mengemaskini status memohon maaf secara terbuka kepada Diana dan Lina Johor berkenaan kenyataannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 7:13 PM