DIANA sebagai gadis Iban.
DIANA sebagai gadis Iban.
JALANI penggambaran di Sarawak.
JALANI penggambaran di Sarawak.
PERANGSANG Rentap ketengah kisah cinta dan perjuangan.
PERANGSANG Rentap ketengah kisah cinta dan perjuangan.
Ramlah Zainal


Kisah cinta unik Romeo & Juliet versi kaum Iban di Sarawak adalah paparan menarik dalam filem genre patriotik Peransang Rentap yang mula ditayangkan di seluruh negara hari ini.

Filem terbitan Unique Twins Sdn Bhd ini mempertaruhkan gandingan Diana Johor dengan pendatang baru Vincent Mallang Alfred selaku teraju utamanya.

Pengarahnya, Lina Johor berkata, walaupun judul filem itu menggambarkan kisah perjuangan Rentap, tetapi ia tidak memfokuskan pahlawan Iban dan Sarawak itu selaku watak utama.

“Ia memaparkan kisah cinta seorang pemuda iaitu Jenang yang memiliki impian untuk berjuang bersama pahlawan idolanya, Rentap tetapi tidak direstui keluarganya.

“Jenang juga hanya ditugaskan menyampaikan amanat Rentap dan dalam masa sama, bertemu cinta hatinya iaitu Entiang,” katanya.

Lina berkata, pihaknya memilih untuk mengetengahkan kisah cinta yang lebih ringan kerana tidak mahu penonton bosan jika hanya memaparkan cerita mengenai sejarah saja.

“Kami juga tidak mahu mengambil risiko tersalah maklumat kerana terlalu banyak versi kisah hidup Rentap pada masa itu.

“Filem ini lebih kepada menyerap semangat pahlawan Itu menerusi watak Jenang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem ini di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya kenapa Peransang Rentap mengambil masa empat tahun untuk disiapkan, Lina berkata, pihaknya melakukan kajian terperinci untuk menghasilkan filem itu.

“Kami mengambil masa lama untuk menyiapkan filem itu kerana ingin memberikan yang terbaik.

“Ia membabitkan setiap perincian termasuk kostum, bahasa serta prop yang digunakan seperti digambarkan dalam catatan sejarah,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia menerima kritikan terhadap filem itu, Lina berkata, ia adalah risiko yang perlu dihadapi semua pembikin filem.

“Mungkin ada penonton yang mahu melihat lebih banyak kemunculan Rentap dalam filem ini tetapi kami ada alasan tersendiri untuk lebih mengetengahkan kisah cinta.

“Filem ini memaparkan kehidupan masyarakat Iban di Sarawak sekitar era 1900-an ketika zaman penjajahan British.

“Watak Jenang digambarkan sebagai ‘peransang’ atau dalam bahasa Melayu bermaksud perutusan yang bertanggungjawab membawa khabar daripada pahlawan Rentap kepada tuai atau ketua rumah panjang di Sarawak untuk berjuang menentang penjajah,” katanya.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon baru seperti Charl May, Ethel Lampai, Emmanuel Reuben, Richard Martias, Bruce Walker dan Iwan Dasri.

Peransang Rentap adalah filem yang memaparkan mengenai cinta, perjuangan, pergorbanan dan dendam anak muda Iban, Jenang dengan semangat berkobar-kobar ingin berjuang bersama pahlawan Rentap untuk memerangi penjajah British.

Dalam perjalanannya menyampaikan perutusan, Jenang jatuh cinta dengan seorang gadis dari kampung seberang iaitu Entiang. Di sinilah terbitnya bibit-bibit cinta sekali gus terpaksa berdepan onak-duri yang mengubah segala-galanya.

Diana heroin gadis Iban

Bukan mudah untuk melakonkan watak gadis Iban iaitu Entiang selaku heroin dalam filem ini.

Menurut Diana, dia juga menyahut cabaran untuk melakonkan watak itu kerana memenuhi permintaan Lina selaku pengarah filem itu.

“Saya tetap menganggap diri sebagai orang baru kerana satu-satunya pelakon berasal dari Semenanjung dalam filem ini.

“Lebih mencabar, saya juga perlu berdialog dalam bahasa Iban sepenuhnya dalam filem ini,” katanya.

Diana berkata, dia turut mengikuti kelas bahasa Iban selama sebulan untuk menjiwai watak Entiang.

“Ada guru khas bahasa Iban yang memantau saya sepanjang 13 hari di lokasi penggambaran sebelum ini.

“Bahasa Iban dalam filem ini berbeza sikit dengan pertuturan sekarang kerana ia mempunyai lenggok serta intonasi suara yang lebih mendalam.

“Saya juga sudah membiasakan diri dengan gaya percakapan mereka sepanjang tempoh empat tahun berulang-alik ke Kuching untuk penyelidikan filem ini,” katanya.

Berkongsi kekuatan filem itu, kata Diana, dia percaya filem ini mempunyai keunikan tersendiri untuk menarik penonton.

“Kisah cinta dalam Peransang Rentap bukan seperti generasi muda sekarang bercinta tetapi disulami dengan adat yang sudah jarang dilihat pada masa sekarang.

“Filem ini turut menyaksikan bagaimana masyarakat dulu yang berpegang teguh pada adat tradisi dan tidak mendahului keluarga dalam apa perkara sekalipun,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:49 AM