Shuhaimi terpaksa dedahkan cerita kerana tidak nampak sebarang penyelesaian.
Shuhaimi terpaksa dedahkan cerita kerana tidak nampak sebarang penyelesaian.

Amirul Haswendy Ashari.

[email protected]

PENGARAH drama, Shuhaimi Zulkefli kesal kerana belum menerima bayaran atas keringat mereka untuk pembikinan filem Perangsang Rentap yang ditayang tahun lalu.

Katanya, dia antara kru produksi yang belum mendapat bayaran daripada produksi Unique Twins milik Lina Johor dan adiknya, Diana Johor yang bertanggung jawab menerbitkan filem Perangsang Rentap.

“Saya terpaksa mendedahkan cerita itu kerana tidak nampak sebarang penyelesaian daripada produser selepas sekian lama memperjuangkan nasib kami.

“Kesan daripada projek ini sangat kuat, semua tidak dapat bayaran. Bukan saja kru, malah bayaran katering, orang asli, pengurus resort, pengusaha sewa bot sehinggalah kepada pelakon tambahan yang diimport dari luar negara tidak dibayar produksi,” katanya kepada Harian Metro.

Shuhaimi turut mempersoalkan kebenaran dakwaan produksi yang menerima dua dana filem bernilai RM 4 juta, selepas dua kali gagal menyiapkan filem Rentap. Filem itu juga ditayangkan di pawagam November tahun lalu.

Katanya, laporan polis sudah dibuat terhadap produksi itu serta bertemu dengan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan persatuan seni berkaitan tetapi tiada tindakan dibuat setakat ini.

“Terbaru, kami baru sahaja bertemu dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) bagi mendapatkan bantuan dengan harapan isu bayaran tertunggak dapat diselesaikan segera,” katanya.

Rentetan isu yang belum selesai sebelum ini, Shuhaimi mendakwa banyak pihak yang terbabit dalam penggambaran filem Rentap mengalami kerugian.

Pengarah drama Kerna Syurga Bukan Percuma itu mendedahkan kronologi berkaitan dakwaan ditipu itu di laman Facebooknya, semalam.

Dia mendakwa filem judul asal Rentap mula menjalani penggambaran pada 2011 di bawah pengarahan Kamal Ishak. Kemudian tenaga produksi ditukar lalu diserahkan kepada pengarahan Osman Ali pada 2013.

Kru dan pengarahan ditukar sekali lagi pada 2014 di bawah pengarahan Hashim Rejab.

Pada 2016, produksi bertukar tangan di bawah Unique Twins sendiri dan ditukar tajuk kepada Perangsang Rentap.

“Perangsang Rentap sepatutnya dihasilkan untuk telefilem kerana bajet yang rendah tetapi ditukar format untuk tayangan filem tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 6:33 PM