Diana bersama suami.
Diana bersama suami.
Wartawan Harian Metro

 

Kuala Lumpur: Meskipun mengambil pendekatan tidak berkongsi kisah peribadi di media sosial, itu tidak bermakna pelakon dan penerbit, Diana Johor, 40, tidak bahagia.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Hazman Thobrani, 46, pada 2018 yang sudah berkeluarga membuatkan Diana akur dan perlu menghormati isteri pertama suaminya.

Ujar pemilik produksi Panthera Motion Pictures Sdn Bhd yang diusahakan sejak 2014 itu, keadaan rumah tangganya hingga kini baik-baik saja walaupun menjalani hidup bermadu.

"Alhamdulillah, saya tiada masalah rumah tangga dan hubungan dengan suami masih baik meski kami belum lagi dikurniakan cahaya mata.

"Begitu juga, hubungan dengan madu pun tiada masalah dan semuanya baik kerana saya sedar perlu menjaga hati keluarga sebelah sana," katanya.

Diana yang kini sudah berhijab, bagaimanapun memaklumkan dia merancang mahu kembali aktif menghasilkan drama dan filem di bawah produksinya Panthera Motion Pictures Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali Unique Twins Sdn Bhd.

Walaupun sejak beberapa tahun lalu, Diana seakan menyepi dalam industri seni, namun akuinya dia tidak pernah terfikir mahu mengundur diri. Katanya, dia berehat seketika untuk fokus pada rumah tangga.

"Kini, saya sedia mengatur langkah mahu menggerakkan semula syarikat produksi dan berharap ia mendapat sokongan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan stesen TV.

"Ditambah, suami juga sudah mengizinkan untuk saya aktif dalam industri semula. Alhamdulillah, suami sangat memberikan dorongan dan sekarang saya pun sudah mula menghantar kertas kerja. Insya-Allah, saya mahu aktif dan fokus semula dengan kerja seni. Saya harap usaha dilakukan ini akan mendapat sokongan positif daripada pelbagai pihak," katanya.

Diana yang mempunyai kembar dikenali Lina, lebih dulu aktif sebagai pelakon sebelum menceburi kerjaya belakang tabir pada 2008 dengan menerbitkan drama dan filem.

Pernah menerbitkan filem Perangsang Rentap pada 2017, Diana juga kali terakhir muncul sebagai pelakon dalam telefilem Hantu Raya Balik Kampung yang dibintanginya pada 2019 lalu.

 

#kw Diana Johor, pelakon, penerbit, bermadu

#loc Kuala Lumpur

 

-Ends/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:30 AM