Cik Pang

Program realiti hiburan Gema Gegar Vaganza (GGV) baru saja melabuhkan tirainya. Biarpun pada awalnya ramai melontarkan komentar negatif mengenai cara program itu, akhirnya ia berjaya membuka mata peminat baru genre nasyid tempatan.

Tapi dalam keseronokan mendapat pendedahan peminat generasi muda, Cik Pang terdengar cerita kurang enak mengenai satu kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Saujana.

Teman Cik Pang mendakwa, hubungan kumpulan itu agak tegang pada minggu pertengahan konsert dan terbawa-bawa sampai ke peringkat akhir.

Ahli-ahli Saujana dikatakan tiada persefahaman kerana ada antara ahlinya didakwa tidak serius dengan pertandingan itu sehingga menyebabkan ahli yang serius untuk menang terasa hati.

Lebih parah, teman Cik Pang mendakwa disebabkan hal itu, mereka tidak bertegur sapa sepanjang konsert berlangsung kecuali ketika ditemu ramah media.

Ada juga teman Cik Pang mendakwa besar kemungkinan kumpulan yang ditubuhkan lewat 1990-an itu akan berpecah selepas GGV.

Sedih juga apabila dengar hal ini sebab Cik Pang antara peminat Saujana sejak lagu Keluarga Bahagia mula-mula popular suatu ketika dulu.

Malah apabila dapat tahu mereka melancarkan single terbaru, Satu Dalam Perjuangan yang menggabungkan tujuh ahli Saujana baru dan lama bulan lalu, sambutan daripada peminat agak menggalakkan.

Cik Pang harap hal perpecahan Saujana tidak berlaku dan ia hanya salah satu dugaan biasa dilalui kumpulan vokal tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:04 AM