MIRWANA
MIRWANA
Syafil Syazwan Jefri


Selepas meraih tempat ketiga dalam program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV), kumpulan vokal harmoni Mirwana kini tampil dengan single baru, Cinta Bukan Mainan.

Menerusi kemunculan semula ini, kumpulan dianggotai Hafiz, Ikram, Naim, Faiz, Akmal dan Along ini ingin mengubah persepsi peminat yang masih menganggap Mirwana kumpulan nasyid.

“Mungkin ramai salah anggap kami kumpulan nasyid. Hakikatnya Mirwana adalah kumpulan vokal harmoni, sama seperti VE dan Ruffedge,” kata Naim mewakili kumpulannya.

Menurut enam jejaka ini, selepas sekian lama menyepi sudah tiba masa mereka kembali aktif dengan memperkenalkan single baru.

“Ini masa yang tepat memandangkan tidak ada kumpulan vokal harmoni yang masih aktif. Maklum balas positif ramai peminat meyakinkan kami untuk kembali aktif,” kata Naim.

Bagi Hafiz pula, ini adalah detik terbaik memandangkan mereka masih dalam ‘mood’ bersemangat.

“Semangat kami sedang berkobar-kobar, lebih-lebih lagi selepas GGV. Lagipun, industri seni muzik kita sekarang sedang hangat dengan pelbagai idea baru dan kami ingin menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Seiring peredaran zaman, Mirwana yang sudah lebih 10 tahun ditubuhkan turut menjadikan media sosial sebagai medium merapatkan hubungan dengan peminat.

“Media sosial seperti Instagram dan Facebook banyak membantu kami mendekati peminat. Pada zaman serba moden ini, kita boleh berkongsi lagu baru dengan peminat secara ‘online’.

“Kerja juga menjadi lebih mudah. Menerusi media sosial, kami boleh memaklumkan kepada peminat mengenai apa saja termasuk perkembangan terkini,” kata Hafiz.

Mirwana juga memiliki satu lagi misi utama selain mengekspresikan minat mereka terhadap muzik.

“Misi utama kami adalah mendidik peminat menerusi lagu yang ada mesej positif. Tak hanya ingin menghiburkan mereka, kami juga mahu memberikan teladan daripada lagu yang disampaikan.

“Selain itu, kalau boleh, kami ingin memecahkan tembok perbezaan yang selama ini seakan-akan ada jurang antara penyanyi nasyid dan penyanyi lain.

“Contohnya di Indonesia, tidak ada sebarang jurang atau tembok yang membezakan. Artis rock pun boleh menyampaikan lagu ketuhanan. Jadi, stigma itu perlu diubah untuk menjadikan industri muzik kita lebih terbuka,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai lagu Cinta Bukan Mainan, ia adalah karya ciptaan Hafiz Hamidun sepenuhnya.

“Ini kolaborasi pertama kami dengan Hafiz. Kami mula berkenalan rapat dengan Hafiz ketika sama-sama bertanding di GGV.

“Selepas berbincang, dia berikan beberapa lagu dan melodinya sesuai dengan kami,” katanya.

Selain itu, Mirwana juga bakal mengadakan showcase mini pada 2 Disember depan di Ruang, Shah Alam.

“Alhamdulillah, sejak jualan tiket mula dibuka pada 1 November lalu, 50 peratus sudah habis. Kami merancang mengadakan konsert berskala besar, jadi showcase mini ini dianggap sebagai permulaan.

“Dalam konsert berdurasi dua jam itu, kami akan sampaikan rangkaian lagu popular sejak awal pembabitan sehinggalah sekarang,” kata Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:02 AM