FITRI Haris menyanyikan lagu-lagu kumpulan UNIC dalam persembahannya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
FITRI Haris menyanyikan lagu-lagu kumpulan UNIC dalam persembahannya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Amirul Haswendy Ashari.


HUBUNGAN penyanyi Fitri Haris, 34, dengan anggota kumpulan nasyid UNIC kini boleh dianggap ‘okay’ selepas isu dia menyanyikan lagu-lagu kumpulan nasyid itu dalam persembahannya.

Sebelum ini, UNIC yang dianggotai Fakhrul, Bazli dan Najdi kesal dengan tindakan Fitri yang juga bekas anggota UNIC masih menyanyikan lagu mereka setiap kali menjayakan persembahan.

Fitri berkata, mereka sudah okay, cuma ada beberapa perkara belum selesai sepenuhnya.

“Perkara ini masih dalam proses untuk diselesaikan dengan cara terbaik,” katanya.

Juara program realiti nyanyian, Gema Gegar Vaganza musim kedua ini ditemui pada sidang media konsert Nur Ramadan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) di sini, semalam.

“Saya sudah dinasihati dinasihati sebarang kenyataan berkaitan mesti berhati-hati, apa-apa pun saya akan buat kenyataan cuma bila belum tahu lagi.

“Paling tepat hubungan kami hanya bersandarkan profesional, atas pentas semua okay, cuma berkaitan lagu akan diselesaikan dengan cara terbaik, itu saja boleh saya katakan,” katanya.

Bercakap mengenai pemilihan lagu yang akan dipersembahkan pada malam konsert Nur Ramadan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana pada 27 April ini, Fitri mengakui dia diminta menyanyikan lagu UNIC oleh penganjur.

Fitri berkata, senarai asal lagu pilihannya adalah Yang Terindah versi GGV, Wahai Kekasihku dan Hanya Tuhan Yang Tahu 2018.

“Kemudian selepas itu dapat mesej daripada penganjur untuk tukar dari Yang Terindah versi GGV kepada Zinnirah versi GGV.

“Saya dapat tahu perkara ini agak lambat, saya ada bertanya kepada pihak pengurusan, sesuaikah saya nyanyikan lagu itu padahal saya ada juga mencadangkan lagu Suara Azan dan Hanya Kamu (duet dengan Awi Rafael),” katanya.

Tapi dia percaya pihak penganjur ada sebab tersendiri meminta dia menyanyikan lagu UNIC walaupun kumpulan itu turut dijemput membuat persembahan pada malam 27 April nanti.

“Kalau penganjur nak kami nyanyi sama-samam saya terima saja. Saya nyanyi ikut apa yang diminta penganjur,” katanya.

Selain Fitri dan UNIC, artis lain turut terbabit adalah Hafiz Hamidun, Lah Ahmad, Akhil Hayy dan kumpulan Mirwana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:35 AM