SAUJANA kembali ke pentas SMA Persekutuan Kajang selepas 21 tahun.
SAUJANA kembali ke pentas SMA Persekutuan Kajang selepas 21 tahun.
Amirul Haswendy Ashari

Persembahan tujuh ahli kumpulan nasyid Saujana sempena Majlis Makan Malam Alumni Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang atau Malam Kenduri Annadi pada Sabtu lalu dianggap rindu yang terlerai buat mereka.

Apatah lagi di SMA ini jugalah mereka menimba ilmu dan kumpulan Saujana ditubuhkan pada 16 April 1997.

Lebih menambah kemanisan, gabungan Suffian Amrin, Dr Idzu Baharin, Dr Faizul Hizal, Hakimi Harun, Wan Najran, Ahmad Zuhaidi dan Azalinor Abdul Rahman ini adalah yang pertama selepas 13 tahun.

Suffian yang juga penyampai radio IKIM FM tidak menyangka dapat kembali ke pentas bersama-sama selepas 13 tahun.

“Sudah lama kami menantikan peluang ini dan lebih manis apabila persembahan ‘reunion’ ini disaksikan guru yang pernah mengajar kami.

“Ada antara guru ini menjadi tulang belakang penubuhan Saujana 21 tahun lalu,” kata Suffian.

Hal sama dikongsikan Azalinor yang kini bergelar komposer dan penerbit buku audio yang gembira dapat berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing semasa berjauhan selama ini.

Idzu yang kini bergelar Pakar Penyelidik Dermatologi akui rindu terlerai apabila dapat bertemu sahabat Saujana dan menyanyikan lagu yang pernah menaikkan nama mereka satu ketika dulu.

Malah Hakimi yang juga Naib Presiden Kanan sebuah bank ternama kelihatan terharu kerana masih diberi peluang untuk bersama dengan anggota Saujana.

“Apa yang boleh saya katakan, ‘reunion’ ini sangat berbaloi kerana dapat meluangkan masa walaupun terhad,” katanya.

MELUANGKAN masa beramah mesra dengan peminat, rakan dan bekas guru mereka.
MELUANGKAN masa beramah mesra dengan peminat, rakan dan bekas guru mereka.

Pakar Neurologi, Dr Faizul pula menyifatkan pertemuan dan persembahan mereka pada malam itu mengimbau kenangan tambahan lagi apabila dapat bertemu guru yang pernah memberi sokongan pada awal penubuhan Saujana.

Katanya, ia adalah detik indah yang tidak akan mereka lupakan sampai bila-bila.

Pada acara itu mereka menyampaikan empat lagu yang pernah dipopularkan Saujana iaitu Suci Sekeping Hati, Bulan Bintang versi akustik, Keluarga Bahagia dan single terbaru, Satu Dalam Perjuangan.

Suffian berkata pemilihan lagu adalah berdasarkan permintaan majoriti penonton yang hadir melebihi 1000 orang pada malam itu selain perbincangan bersama ahli Saujana.

“Alhamdulillah, penonton menantikan segmen khas bersama Saujana pada Malam Kenduri Annadi.

“Walaupun singkat, segmen ini dianggap kemuncak program walaupun acara ini sebenarnya majlis tertutup untuk bekas guru dan pelajar saja.

“Kami tidak sangka ramai juga orang awam yang ingin turut serta menyaksikan persembahan Saujana,” katanya.

Lebih menarik, mereka hanya mengambil masa satu hari saja untuk menjalani latihan vokal untuk dipersembahkan pada malam itu berikutan sibuk dengan kerja masing-masing.

NAJRAN (depan, memegang telefon) sempat merakam foto bersama peminat dan bekas rakan sekolah.
NAJRAN (depan, memegang telefon) sempat merakam foto bersama peminat dan bekas rakan sekolah.

Mereka menyifatkan sesi latihan tidak sukar kerana lagu yang dibawa sudah biasa dipersembahkan sebelum ini.

“Latihan sehari itu hanyalah untuk mengatur pembahagian vokal dan susunan persembahan saja,” kata Suffian.

Melihat sambutan positif itu, Saujana merancang mengadakan ‘showcase’ serta program motivasi istimewa untuk peminat mereka tahun depan.

Kata Suffian, perbincangan lanjut akan diteruskan sambil mencari penaja untuk program berkenaan.

Selain itu, Saujana sedang menyiapkan satu single bertemakan kemanusiaan kerana mereka adalah Ikon Kemanusiaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama Irma Hasmie, Asyraf Muslim, Diana Amir, Elfaeza Ul-Haq dan Redza Shah.

Sempena sambutan Maulidur Rasul kelak, Saujana juga akan muncul dengan single selawat bergabung bersama Nowseeheart selain Idzu pula akan muncul dengan single solo berjudul Percaya hujung tahun ini.

BAKAL melancarkan single terbaru pada sambutan Maulidurrasul kelak.
BAKAL melancarkan single terbaru pada sambutan Maulidurrasul kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:41 AM