ELIZABETH
ELIZABETH
Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Elizabeth Tan baru-baru ini bercerita mengenai kisah cintanya yang kecundang selepas empat bulan bersama bekas kekasih yang juga ahli perniagaan.

Kisah itu tular di Internet dan netizen turut mendakwa hubungan itu putus disebabkan kehadiran orang ketiga.

Bagaimanapun, Elizabeth enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Saya tak mahu komen mengenainya kerana sudah meneruskan kehidupan sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada pernah terserempak dengan wanita yang dikatakan seorang selebriti itu, Elizabeth ada jawapannya.

“Sepanjang berada dalam industri hiburan, saya sendiri tidak pernah bertemu dengannya.

“Saya juga menyekat semua talian atau media sosial daripada bekas kekasih dan wanita itu kerana saya tidak mahu lagi pandang ke belakang,” katanya.

Diminta mengulas mengenai ‘perang’ antara netizen yang terdiri daripada peminatnya dan selebriti itu di beberapa ruangan forum, Elizabeth memohon agar ia tidak diperbesarkan.

“Saya memohon peminat supaya tidak bergaduh, mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan membuli di Internet. Apa yang berlaku saya jadikan pengajaran.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan sekarang, fokus lebih kepada untuk memajukan kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon,” katanya.

Elizabeth sebelum itu bercerita yang dia sendiri mengambil keputusan berpisah kerana itu adalah jalan terbaik.

Apa yang membuatkannya terkilan kerana dia sanggup membelakangkan keluarganya demi cinta.

“Saya akan lebih berhati-hati dalam memilih cinta selepas ini. Hubungan saya dengan keluarga pun sudah kembali pulih selepas berpisah dengan bekas kekasih.

Terbaru, Elizabeth kini menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul My Darling Inspektor Daniel.

“Selain saya, pelakon lain yang terlibat adalah Aaron Aziz. Ini adalah drama pertama saya ditawarkan watak utama.

“Saya sendiri pada awalnya sedikit ragu-ragu dengan kemampuan dalam lakonan. Tetapi, apabila ditawarkan, saya cuba lakukan semampu yang boleh dan banyak melakukan latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:01 AM