DAIYAN Trisha
DAIYAN Trisha
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Saya rasa ia sesuatu yang lucu," kata penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha ketika diminta mengulas mengenai tindakan netizen yang 'menjodohkannya' dengan pelakon, Aedy Ashraf.

Daiyan ketika ditemubual secara maya di pelancaran single terbarunya, Penat, berkata, dia dan Aedy sekadar bersahabat.

"Saya dengan Aedy adalah kawan baik. Memang saya ada nampak komen-komen netizen, tapi saya tak bersedia untuk apa-apa (hubungan)," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia baru saja melalui fasa putus cinta kira-kira satu bulan setengah lalu.

Katanya, fasa penuh kepedihan itu juga dijadikan inspirasi dan dituangkan dalam penghasilan lagu baru berjudul Penat itu.

"Lagu itu berkisar mengenai rasa penat. Penat dengan segala-galanya. Bagaimana penatnya saya berdepan fasa putus cinta dalam situasi pandemik.

"Siapa punca saya menulis lagu itu? Saya sebagai pengkarya memilih untuk merahsiakannya dan biarlah ia menjadi misteri. Cukuplah sekadar ia ditujukan kepada bekas kekasih saya," katanya.

Terdahulu, di TikTok tular satu video yang dimuat naik peminat Daiyan dan Aedy menunjukkan reaksi Aedy ketika ditanya peminat mengenai Daiyan dalam satu video secara langsung.

Dalam video itu, jelas sekali wajah Aedy kelihatan kekok saat diajukan soalan itu dan dihimpit pertanyaan beberapa rakannya yang turut serta dalam sesi secara langsung itu termasuklah pelakon, Elfira Loy.

Versi audio Penat sudah dilancarkan di YouTube sejak semalam dan video liriknya akan dilancarkan di platform sama malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:51 PM