ZAC
ZAC
Syafil Syazwan Jefri


Bukan mudah menjadi lelaki kacak dan itu dibuktikan sendiri bintang Hollywood, Zac Efron.

Dia yang baru-baru ini mencuba nasib mencari jodoh menerusi aplikasi Tinder mengakui sukar mencari wanita idaman untuk keluar temu janji bersama.

Bintang filem Mike and Dave Need Wedding Dates itu menerusi status di Facebooknya berkata, ramai yang tidak percaya itu adalah akaun Tindernya dan disebabkan itu, pengguna aplikasi itu menganggapnya akaun palsu.

“Temu janji adalah sesuatu yang sukar untuk saya. Ramai yang tidak tahu itu akaun asal saya dan memang saya mengendalikannya.

“Walaupun saya sudah mendaftar dan meletakkan gambar saya, masih tiada wanita yang ‘swipe’ ke kanan untuk berkenalan dengan saya,” kata Zac dalam satu temu bual.

Menurutnya, untuk mencari kekasih atau teman hidup, ia memerlukan komunikasi antara dua manusia dan hubungan itu akan memberi kesan kepada kedua-dua pihak.

“Ia akan memberi kesan kepada pasangan itu sendiri. Temu janji antara pasangan yang baru berkenalan juga perlu wujud rasa percaya, walaupun saya tahu, orang punya pendapat tersendiri mengenai saya,” katanya.

Zac dan bekas kekasihnya, Sami Miro memutuskan hubungan mereka pada April lalu selepas hampir dua tahun bercinta.

Disebabkan itu, dia memuat turun aplikasi itu bagi membantu dirinya mencari kekasih baru, namun tidak berhasil.

Zac juga turut berkongsi mengenai dirinya yang mengalami kemurungan selepas putus cinta dan menjelaskan mengapa tidak terlalu aktif di media sosial.

“Saya hilang punca disebabkan Internet. Saya membaca 30 perkara positif dan satu perkara negatif di Internet dan lebih banyak berfikir mengenai perkara

negatif itu. Itu membuatkan saya menjadi ‘gila’,” katanya.

Dia juga terbuka bercerita mengenainya yang juga sering mencari nama sendiri di enjin carian Google setiap pagi untuk melihat respons masyarakat terhadapnya.

Dari situ, jelas sekali Internet ada baik dan buruknya. Jika salah cara penggunaan, Internet mampu membuatkan manusia menjadi tertekan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:02 AM