Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof berharap apa yang berlaku kepada rumah tangganya dengan bekas isteri yang juga pelakon Puteri Sarah, menjadi pengajaran buat semua.

Syamsul ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas melafazkan talak berkata, dia reda dan menganggap fasa kehidupan ini sebagai ujian buatnya.

"Dari awal lagi, saya anggap ini ujian kehidupan. Satu fasa sebab kami pun bukan muda lagi. Ujian di usia begini, perlu kuat dan alhamdulillah pengakhiran yang baik.

"Diharapkan Sarah dapat teruskan kehidupannya dengan baik. Begitu juga dengan saya. Kami sama-sama mendoakan walaupun berpisah, kami tidak berdendam lagi Insya-Allah.

"Saya reda. Ini satu fasa. Ujian hidup akan terus datang, terutamanya sebagai selebriti.

"Saya harap apa yang berlaku kepada kami, dapat menjadi pengajaran kepada orang lain, selebriti atau orang awam. Kita semua belajar," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Syamsul, dia juga menitipkan pesanan kepada bekas isterinya supaya menetapkan tumpuan kepada anak-anak sebagai keutamaan.

"Jangan ikut emosi yang akan menghancurkannya. Jujurnya, saya beritahu Sarah, walaupun kita berpisah hari ini, ini jadi pengakhiran segalanya. Kita selamanya ada ikatan anak-anak. Kita boleh saling membantu. Dia tetap ibu kepada anak-anak dan begitu juga saya.

"Saya beritahu satu benda kepada Sarah. Kita tahu kontroversi datang dan pergi. Yang penting, kehidupan saya, dia dan anak-anak. Kita kena maju ke depan. Selepas ini ada kes lain pula. Keutamaan adalah kehidupan anak-anak," katanya.

Terdahulu, Syamsul melafazkan talak satu buat kali kedua kepada Sarah sekali gus menamatkan persengketaan antara kedua-dua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:48 PM