LIANA di hadapan cabang perniagaan baharunya, Zerina Gold & Jewels.
LIANA di hadapan cabang perniagaan baharunya, Zerina Gold & Jewels.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bermula dengan hanya berniaga di pasar malam, Liana Friska, 34, kini mempunyai enam cawangan yang memfokus pelbagai jenis perniagaan.

Mengakui perjalanannya untuk sampai ke tahap sekarang bukan suatu yang mudah, dia memaklumkan, apa yang dicapai sekarang adalah hasil kerja keras selain mendapat sokongan daripada suami, kakitangan yang setia dan mentor perniagaannya, Sifu Bad (Sifu Jamal) dan Encik Khairul (EK).

Menurutnya, dia pada mulanya hanya berniaga barangan kosmetik dan pakaian Muslimah di tapak pasar malam sekitar Tawau, Sabah pada 2018.

"Awal 2018 saya berniaga di tapak pasar malam Tawau dan sambutan yang diterima menggalakkan daripada pelanggan dan saya berpindah ke kedai lebih besar.

"Dari situ saya semangat untuk bangkit dan menggunakan sepenuhnya Facebook untuk mempromosikan produk saya.

"Sehari saya akan buat live di Facebook sebanyak empat kali dan menghabiskan masa antara 12 ke 16 jam untuk live," katanya kepada Bisnes Metro.

Hasil penat lelahnya itu berbaloi apabila sekarang di bawah syarikat Zerina Collection Sdn Bhd, dia mempunyai enam cawangan perniagaan yang memfokus menjual pelbagai barangan.

Liana berkata, lima cawangannya berada di Tawau dan satu di Kota Kinabalu yang menjual pakaian Muslimah moden di bawah jenama Zerina Hijab, keperluan bayi dan kanak-kanak, kelengkapan haji dan umrah serta terbaru Zerina Gold & Jewels.

"Kekuatan saya untuk berjaya adalah atas dorongan suami dan saya juga beruntung kerana memiliki pekerja yang setia menjadi tulang belakang saya.

"Paling penting untuk berjaya jangan sesekali putus asa dan harus sentiasa berikhtiar," katanya yang merancang untuk membuka pasar raya dan stesen minyak sendiri dalam tempoh dua tahun lagi.

Beliau berkata, hasil keuntungan perniagaannya turut disalurkan untuk pembinaan masjid dan madrasah di Tawau yang sudah mula pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:04 PM