Nurul Atiqah Kamaruzaman
Nurul Atiqah Kamaruzaman

Shah Alam: Menjual produk orang lain sebagai dropship adalah perniagaan berisiko rendah dengan menggunakan modal yang kecil malah ada tanpa modal, tetapi sangat menguntungkan, kata Pengarah Nurul Atiqah Holding Sdn Bhd.

Menurut Nurul Atiqah Kamaruzaman, beliau tidak perlu mengeluarkan belanja untuk pemasaran yang banyak sebaliknya lebih berfikir mengenai strategi bagaimana untuk menarik pelanggan membeli produk.

Mengulas lanjut, beliau juga tidak menganggap apa dijalankan sekadar perniagaan orang lain, tetapi adalah perniagaan sendiri.

"Walaupun saya jual produk orang, matlamat saya bukan sekadar duit dan jualan malah nak tingkatkan diri dan membantu orang sekeliling. Kalau kita semata-mata jual produk apabila produk tak ada permintaan kita jadi down," jelasnya.

Sebelum dilantik stokis tudung Fareha, Nurul Atiqah memulakan pelbagai perniagaan secara dalam talian pada 2013, tetapi gagal.

"Saya pernah jadi ejen kosmetik, dobi, menyertai karnival, pasar, booth dan event untuk berniaga serta buka butik, tetapi butik terpaksa ditutup, malah berhutang hampir RM30,000 ketika itu.

"Masa itu saya rasa dah tak nak berniaga, tetapi saya mesti lakukan sesuatu dan cari pendapatan untuk sara anak," jelasnya.

Selepas enam tahun menjalankan perniagaan tanpa ilmu, Nurul Atiqah bersetuju menerima pelawaan rakan untuk mengikuti program RichWorks bersama Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman.

"Memang seronok, Dr Azizan beri ilmu banyak, tetapi kita pilih. Daripada situ saya ambil langkah berani sewa kedai untuk letak stok. Dr Azizan suruh aktif dan buat live di media sosial.

"Dulu saya juga tak ada ilmu pemasaran, semua berubah apabila bersama RichWorks dengan saya mula buat live, ketahui ilmu kepemimpinan terutama cara nak urus pekerja, ilmu jaga ejen dan perlu restu daripada suami," katanya.

Hasil daripada menuntut ilmu dan melakukan perubahan, pada 2020 syarikatnya mencatat jualan RM11.1 juta meningkat kepada RM17.2 juta pada tahun berikutnya dan menyasarkan RM30 juta pada 2022.

Bagi yang berminat untuk mendaftar sebagai dropship dan produk yang ditawarkan boleh layari laman web nurulatiqahholding.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 11:43 AM