Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Dianggarkan terdapat kira-kira 500,000 kes jangkitan HIV di negara ini dengan 120,000 daripada kes berkenaan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Meskipun kes baharu HIV yang disebabkan dadah sudah dapat dikawal, punca kes daripada transmisi seks menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

Sebanyak 80 peratus daripada jangkitan itu adalah melalui hubungan seks dan turut membabitkan kes jangkitan lelaki mengadakan hubungan seks sesama lelaki (MSM).

Perkara itu didedahkan Kaunselor HIV dan Exco Rumah Solehah Matron Fadzilah Abd Hamid yang berpengalaman dalam membantu wanita dan kanak-kanak HIV mendapat penempatan sementara.

Beliau berkata, apabila kegiatan MSM meningkat, secara tidak langsung bilangan kes jangkitan HIV terhadap wanita turut meningkat.

“MSM dilakukan lelaki yang sudah berkahwin tapi pada masa yang sama mengadakan hubungan seks terlarang dengan lelaki lain.

“Lebih mendukacitakan apabila MSM mempunyai persatuan dan sentiasa melatih ahli baru bagi menambah bilangan pengikutnya.

KANAK-KANAK Rumah Solehah yang menghidap HIV membuat aksesori perhiasan wanita.
KANAK-KANAK Rumah Solehah yang menghidap HIV membuat aksesori perhiasan wanita.

“Pelbagai teknik akan digunakan untuk menarik ahli baru dan kumpulan ini menyasarkan anak muda dari luar bandar yang berhijrah ke ibu kota untuk bekerja kerana mereka agak mudah ‘diumpan’ dengan kemewahan,” katanya.

Namun, di sebalik keseronokan itu ada insan tidak berdosa terpaksa menanggung derita akibat perbuatan tidak bermoral. Isteri dan anak dijangkiti HIV!

Bak kata pepatah, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Lebih menyedihkan apabila isteri dan anak yang dijangkiti HIV disisihkan keluarga dan masyarakat.

PENDIDIKAN sempurna diberikan untuk masa hadapan mereka.
PENDIDIKAN sempurna diberikan untuk masa hadapan mereka.

Bagaimanapun, Rumah Solehah diibaratkan sebagai penyelamat kepada golongan terbabit (isteri dan anak dijangkiti HIV) kerana memberikan pertolongan dan penempatan sementara kepada mereka.

Matron Fadzilah berkata, rumah berkenaan ditubuhkan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dengan kerjasama KKM yang mula beroperasi pada 1998.

Katanya, hingga kini hampir 200 wanita dan kira-kira 50 kanak-kanak pernah ditempatkan di rumah berkenaan.

“Penghuni wanita yang menetap di rumah ini berusia antara 18 hingga 60 tahun sementara kanak-kanak pula berusia antara enam hingga 16 tahun.

“Mereka (wanita) yang dalam rawatan akan menetap di sini tidak melebihi dua tahun berdasarkan tempoh baharu ditetapkan KKM.

FATHIIAH memantau kanak-kanak menyiapkan tugasan sekolah.
FATHIIAH memantau kanak-kanak menyiapkan tugasan sekolah.

Menurutnya, sepanjang tempoh berada di pusat berkenaan, mereka (wanita dan kanak-kanak) dibantu dari segi penjagaan holistik yang memberi penekanan kepada kebersihan, makanan seimbang dan berfikiran positif di samping pengambilan ubat mengikut jadual ditetapkan.

“Kumpulan ini juga akan diberikan kaunseling untuk meredakan tekanan, sementara motivasi pula bagi memastikan mereka lebih bersemangat dalam meneruskan kehidupan.

“Kami juga mengadakan program pemantapan kerohanian bagi mendalami asas agama iaitu mengajar solat dan mengaji kerana ini matlamat Rumah Solehah terhadap penghuni wanita,” katanya.

SESI kelas fardu ain.
SESI kelas fardu ain.

Jelasnya, penghuni kanak-kanak turut dibantu dari segi kebajikan termasuk memberikan pendidikan agama dan akademik yang sempurna.

Matron Fadzilah berkata, pada masa sama Rumah Solehah mengadakan program dari rumah bagi membolehkan alumni pusat perlindungan berkenaan dan mereka yang tinggal bersama keluarga dapat menyertai aktiviti diadakan.

“Biasanya mereka lebih berminat menyertai program pemantapan kerohanian dan kaunseling.

“Program seperti ini dapat mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak diingini berikutan tekanan dihadapi,” katanya.

PENGHUNI kanak-kanak turut diajar membancuh air.
PENGHUNI kanak-kanak turut diajar membancuh air.

Seorang lagi tulang belakang Rumah Solehah dan koordinator rumah berkenaan, Fathiiah Hamzah sudah 10 tahun berkhidmat di rumah terbabit bermula sebagai sukarelawan sejak 2008.

Dia yang mempunyai lulusan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, sanggup melupakan cita-citanya menjadi pensyarah kerana ingin berbakti di rumah berkenaan.

“Saya mengenali Rumah Solehah daripada rakan dan mereka mengajak menyertai satu aktiviti di situ.

“Berada di sana buat saya terkejut kerana mendapati kanak-kanak di sini tidak pandai membaca walaupun sudah menjangkau usia 11 tahun,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian mengutarakan perkara itu kepada pihak pengurusan dan dimaklumkan tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk pendidikan.

“Saya dan rakan mengambil inisiatif mengadakan tuisyen percuma untuk membantu kanak-kanak di sini membaca.

“Melihat kepada perkembangan positif ditunjukkan mereka membuatkan saya jatuh hati dengan penghuni di sini dan rela menabur jasa menjadi kakitangan di rumah ini hingga ke hari ini,” katanya.

KANAK-KANAK mengisi masa lapang dengan menanam pokok.
KANAK-KANAK mengisi masa lapang dengan menanam pokok.

Menurut Fathiiah, rutin tugas bermula seawal jam 5.30 pagi untuk mengejutkan mereka dan menunaikan solat Subuh berjemaah serta memantau pengambilan ubat (ubat khas HIV) sebelum ke sekolah.

“Pulang dari sekolah, saya akan memastikan anak ini mengikut aktiviti yang sudah disusun dalam jadual termasuk kelas fardu ain dan tuisyen.

“Pada hujung minggu pula, mereka sibuk dengan aktiviti bersama pihak luar terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke rumah ini,” katanya.

Anak penguat semangat teruskan kehidupan

Dua belas tahun lalu, wanita ini pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan berserah menunggu kematian apabila disahkan positif HIV.

Hampir setahun Ramlah, 40, (bukan nama sebenar) berperang dengan dirinya untuk mengembalikan semula semangat yang hilang.

Ramlah dijangkiti HIV daripada suaminya iaitu penagih dadah tegar. Perbuatan suaminya adalah di luar pengetahuannya. Namun ‘rahsia’ terbongkar apabila suaminya dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tujuh anaknya bebas HIV dan menjadi penguat semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

“Sebelum disahkan menghidap HIV, saya menderita batuk kering selama setahun.

“Enam kali saya menjalani ujian darah dan ujian terakhir barulah dapat keputusan positif HIV,” katanya ketika ditemui di Rumah Solehah, baru-baru ini.

PENULIS bersama Ramlah (bukan nama sebenar) yang bercerita pengalamannya menghidap HIV.
PENULIS bersama Ramlah (bukan nama sebenar) yang bercerita pengalamannya menghidap HIV.

Menurutnya, suaminya meninggal dunia 12 tahun lalu dan dia langsung tidak mengetahui arwah suaminya terbabit dengan najis dadah. Ini kerana arwah suaminya itu tidak menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika di rumah.

“Ketika hayatnya, suami sentiasa komited dengan pekerjaan dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami serta ayah dengan baik.

“Cuma kadangkala matanya kelihatan merah dan apabila saya bertanya arwah mengatakan matanya masuk habuk,” katanya.

Bagaimanapun, dia juga bernasib baik kerana anaknya sangat memahami keadaan, memberi sokongan dan sering menemaninya ke klinik untuk mengambil ubat.

“Tanpa mereka, mungkin saya tidak dapat menjalani kehidupan seperti hari ini.

“Ujian ini terlalu berat dan sokongan keluarga sangat penting supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya yang turut mengikuti program dari rumah di Rumah Solehah.

RAMLAH bersama anaknya.
RAMLAH bersama anaknya.

Ramlah berkata, di sebalik ujian itu ada hikmah terbesar dalam hidup kerana memberi perubahan positif kepada dirinya.

“Jika dulu saya agak lalai dengan perintah Allah, tapi kini lebih mendekati-Nya.

“Saya mengenali Rumah Solehah empat tahun lalu dan banyak belajar berkenaan agama di rumah ini.

“Jika ada masa lapang, pasti saya datang ke sini untuk bersama-sama melakukan aktiviti dengan penghuni lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:39 AM