Fazurawati Che Lah

Setiap individu di negara ini mempunyai hak sama rata untuk menikmati kualiti pendidikan sempurna.

Tidak kira keupayaan atau ketidakupayaan, jantina, sosial, ekonomi, kebudayaan, latar belakang etnik dan agama atau taraf kesihatan termasuk penghidap HIV.

Menjadi cabaran besar kepada pembawa HIV sebaik memasuki alam persekolahan kerana stigma masyarakat yang memandang hina dan jijik sekali gus memburukkan lagi nasib mereka.

Kesan itu juga menyebabkan mereka kerap kali bertukar sekolah bagi mengelak daripada terus dipinggirkan.

Di sebalik kesukaran dihadapi murid yang hidup dengan HIV, sebenarnya pihak sekolah sentiasa berusaha menjaga sensitiviti dan hak asasi mereka.

Ini bagi memastikan mereka tidak terus tercicir dengan manfaat pendidikan yang disediakan di negara ini akibat pandangan negatif berkenaan.

TEKANAN sekiranya terus dipulaukan rakan.
TEKANAN sekiranya terus dipulaukan rakan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Petaling 2, Batu Enam, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur Razali Muda berkata, pihak sekolah mempunyai inisiatif khas kepada murid berkenaan bagi meneruskan pembelajaran di sekolah.

Katanya, menjadi tanggungjawab kepada pendidik untuk memberikan semangat dan sokongan, membantu dari segi kewangan dan tidak meminggirkan mereka.

Bagi mengelak murid berkenaan dipulaukan atau dipinggirkan oleh rakan sebaya, pihak sekolah terutama guru perlu amanah dengan merahsiakan penyakit dialami mereka.

“Guru tidak boleh maklumkan penyakit itu kepada murid lain kerana bimbang timbul isu disisihkan atau dipulaukan rakan.

“Menjadi tanggungjawab guru memastikan anak pembawa HIV tidak distigmakan termasuk di luar sekolah. Anak ini juga perlu dilayan sama seperti murid normal kerana penyakit itu bukan mudah untuk menjangkiti individu lain.

“Kerahsiaan ini bagi memastikan emosi pelajar sedemikian tidak terganggu seterusnya proses menimba ilmu dapat dikongsi bersama guru dan rakan sebaya,” katanya.

Katanya, aktiviti kokurikulum turut membabitkan murid yang hidup dengan HIV, namun guru perlu memberi perhatian khusus kerana kebanyakan murid itu tidak seaktif murid normal.

RAZALI.
RAZALI.

“Anak ini perlu mengikuti aktiviti kurikulum yang bersesuaian kerana tahap kesihatan mereka tidak sama dengan murid normal.

“Murid seperti ini akan cepat penat, tidak aktif dan agak perlahan dalam mengingat fakta. Guru harus beri perhatian lebih dan biasanya akan membabitkan aktiviti yang tidak lasak,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rojanah Kahar berkata, Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989 dalam Artikel 2 menyatakan pesakit HIV juga wajib dilindungi.

Katanya dalam aspek pendidikan, murid atau pelajar yang dijangkiti HIV mempunyai hak terhadap rawatan, kaunseling dan penjagaan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan dengan lancar.

Kerjasama dengan pelbagai pihak adalah jalan terbaik, pihak sekolah boleh merujuk kanak-kanak itu kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan atau NGO bagi menguruskan kehidupan di sekolah itu.

“Peranan pentadbir, kaunselor sekolah, kerja sosial perubatan dan sokongan keluarga adalah sangat penting bagi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup kanak-kanak itu.

“Bagi mengubah tingkah laku seseorang, kita perlu berani bertindak. Namun, cabaran dalam dunia siber mungkin menjejaskan pelan tindakan. Jadi pihak sekolah juga perlu menyediakan kaunselor terlatih dan kompeten dalam isu pengurusan kanak-kanak pembawa HIV,” katanya.

DR Rojanah.
DR Rojanah.

Katanya, pendekatan bersepadu perlu diambil oleh semua pihak bagi mengatasi isu ini.

“Kanak-kanak ini mempunyai hak untuk mendapat penjagaan alternatif yang bersesuaian seperti rumah penjagaan sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk menjaga, walaupun mereka tidak patut dipisahkan daripada adik beradik lain.

“Ibu bapa juga perlu rasional dan bersikap positif bagi membantu kanak-kanak ini,” katanya.

Berdasarkan perangkaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), seorang daripada 16 orang yang hidup dengan HIV ialah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

Setiap jam, 42 orang kanak-kanak di bawah 15 tahun dijangkiti HIV. Setiap hari, 740 orang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun meninggal dunia kerana AIDS.

Bangun garis panduan untuk sekolah

Epidemik HIV atau AIDS masih wujud di Malaysia lebih tiga dekad lalu sejak kes pertamanya dilaporkan pada 1986.

Bagaimanapun, adanya perkembangan bidang perubatan dan kesedaran sosial, pembawa HIV dan penyakit AIDS masa kini mempunyai jangka hayat yang lebih lama dan mampu menjalani kehidupan yang normal secara relatifnya.

Kanak-kanak yang hidup dengan HIV positif juga boleh mendapatkan pendidikan formal seperti rakan sebaya mereka. Namun, cabaran terutama dari segi stigma dan diskriminasi masih ada.

Bagi mengatasi diskriminasi itu, penyelidik Universiti Malaya (UM) membangunkan Garis Panduan Untuk Sekolah Dalam Menguruskan Kes HIV dan AIDS.

Penyelidik Khairul Amar Razali berkata, kajian dijalankan untuk meneroka ciri kepemimpinan guru besar kepada murid yang menghidap HIV atau AIDS.

Katanya, kajian ini juga bertujuan membina asas garis panduan kepada pihak sekolah dalam mengendalikan pelajar berkenaan.

“Pada masa ini, tidak ada prosedur spesifik bagi menguruskan murid yang hidup dengan HIV di sekolah.

“Berdasarkan kajian kualitatif yang dijalankan, dalam sesi temu ramah bersama guru besar, semua responden mengakui tidak pernah mendapat apa-apa prosedur spesifik dalam membantu mereka menguruskan murid berkenaan,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklum balas dan hasil kajian, satu garis panduan dicipta dan dicadangkan untuk diperhalusi seterusnya diguna pakai oleh guru besar di sekolah rendah.

“Garis panduan ini mengandungi maklumat umum mengenai HIV dan AIDS serta prosedur menguruskan murid yang membabitkan kerahsiaan, kehadiran ke sekolah, komunikasi dengan Jabatan dan agensi berwajib.

“Ia juga salah satu aktiviti kesedaran dan sokongan untuk murid yang hidup dengan HIV atau AIDS mendapatkan pendidikan,” katanya.

Katanya, kajian itu dijalankan berdasarkan metodologi kualitatif iaitu seramai enam orang guru besar sekolah rendah di Lembah Klang dipilih.

KHAIRUL Amar.
KHAIRUL Amar.

Hasil kajian menunjukkan terdapat 13 ciri kepemimpinan daripada analisis data seperti mempunyai pengetahuan dan kefahaman, menyampaikan pengetahuan dan meningkatkan pemahaman, teliti, pragmatik, bertanggungjawab dan beretika.

Katanya, garis panduan ini boleh digunakan di peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Garis panduan ini akan membantu pihak kepemimpinan sekolah, terutama guru besar dan pengetua dalam mendepani dan menguruskan pelajar pembawa HIV atau penghidap AIDS.

“Garis panduan sudah dibentangkan di peringkat Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Pendidikan Selangor, Malaysia AIDS Council (MAC), rumah kebajikan dan perlindungan HIV atau AIDS Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 1:49 PM