KADAR kenaikan baru dilaksanakan tahun depan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah sekarang.
KADAR kenaikan baru dilaksanakan tahun depan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah sekarang.
Oleh Michelle Gun

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menaikkan yuran sembilan jenis pelesenan tahun depan.

Antara lesen terbabit adalah bagi permohonan pengeluaran, pameran dan pengedaran.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman berkata, kadar kenaikan yuran baru sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah sekarang.

“Sebelum itu, FINAS perlu menyemak semula peraturan sedia ada namun jumlah kenaikan bukanlah terlampau tinggi.

“Bayaran untuk mendapatkan lesen sekarang rendah dan belum dinaikkan sejak 1983,” katanya ketika sidang media baru-baru ini.

Beliau berkata, kenaikan itu relevan berikutan terdapat segelintir pemegang lesen didapati kurang aktif menghasilkan karya.

“FINAS merekodkan sebanyak 5,604 pemegang lesen sehingga Oktober lalu dan 50 peratus daripadanya didapati kurang aktif. Dengan kadar yuran baru, penggiat seni akan lebih menghargai lesen yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, bayaran untuk memperolehi lesen menerbit filem adalah RM100 dengan deposit RM1,000.

Manakala lesen untuk pengedaran filem RM400 setahun dengan bayaran deposit RM2,500.

Tambah Kamil lagi, FINAS akan mengetatkan saringan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang mulai Julai 2016 sebagai usaha menghasilkan karya lebih berkualiti.

“Skim baru itu hanya berkuat kuasa bagi permohonan tayangan filem pada Julai depan.

“Manakala filem sebelum tempoh penguatkuasaan itu masih mengikuti skim sekarang,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pendekatan baru itu akan menyebabkan bilangan filem tempatan ditayang di pawagam merosot tahun depan.

“Kami mendapati ada beberapa filem kurang mendapat sambutan penonton sehingga mengalami kerugian besar.

“Tahun ini sebanyak 80 filem tempatan ditayangkan di pawagam dengan kutipan jualan RM75 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 12:37 PM