KAMIL bersama Timbalannya Khalidah Mohd Darus.
KAMIL bersama Timbalannya Khalidah Mohd Darus.
Oleh Michelle Gun

Sebelum ini, jawatan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal perbadanan itu, Dr Megat Al-Imran Yasin berikutan persaraan Raja Rozaimi Dalnish Shah, bulan lalu.

Kini kerusi itu diisi oleh Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman yang mempunyai misi dan visi sendiri.

Malah, ketika pertemuan dengan beliau pada sesi ramah mesra bersama wakil media tempatan di sebuah hotel terkemuka, Selasa lalu, Kamil dilihat menggunakan pendekatan lebih mesra.

Kamil yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden Bahagian Kandungan Multimedia Kreatif, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) menggariskan beberapa perkara. Beliau juga berjaya mengangkat industri animasi tempatan ke peringkat antarabangsa sebelum ini.

Ikuti temubual wartawan RAP, Michelle Gun (michellegun@ hmetro.com.my) bersama Kamil berkenaan misi dan visi baru FINAS.

RAP: Apakah pembaharuan yang dilakukan untuk menaikkan semula peranan FINAS?

KAMIL: Sebagai permulaan, FINAS mahu memberi tumpuan dalam tiga aspek utama iaitu melihat sebanyak mana filem yang boleh dieksport. Ia termasuk pembangunan modal insan serta memperkenalkan kemudahan FINAS kepada pihak luar.

Saya juga mahu mempercepatkan usaha mewujudkan undang-undang persatuan yang boleh diguna pakai pada peringkat industri kreatif.

RAP: Bagaimana FINAS meningkatkan lagi mutu kandungan filem tanah air?

KAMIL: Industri perfileman kita banyak menghasilkan karya tetapi kebanyakannya untuk kandungan tempatan. Hanya beberapa saja yang mencecah pulangan sebanyak 300 peratus. Lebih menyedihkan, sebahagian besar daripada judul itu tidak layak dieksport ke luar negara. Memang tidak dinafikan ada produser yang menghasilkan karya 'syok' sendiri. Mereka menghasilkan filem tanpa panduan dan ilmu pengetahuan yang mencukupi.

Karya dihasilkan mereka juga tidak berkualiti dan menyebabkan jumlah penonton di pawagam semakin merosot. Justeru, saya menasihatkan produser di luar sana untuk meneliti karya yang bakal dihasilkan bagi mengelak mereka menanggung kerugian besar.

Sebenarnya, banyak lagi peluang lain boleh diambil produser untuk mempertingkatkan serta melariskan filem, salah satu daripadanya dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi luar negara.

RAP: Industri perfileman tanah air semakin merudum setiap tahun. Apakah langkah yang diambil FINAS untuk menyelesaikan masalah ini?

KAMIL: Selepas mengadakan perbincangan, FINAS akan menubuhkan pusat 'pitching' untuk penggiat seni yang ingin menghasilkan filem, animasi, dokumentari dan karya lain mulai bulan depan. Kemudahan ini seperti pusat sehenti bagi mereka yang ingin mendapatkan dana kerajaan menghasilkan karya.

Selain itu, FINAS akan melantik panel profesional termasuk di peringkat antarabangsa bagi memastikan skrip dihasilkan karyawan berkualiti.

RAP: Apakah program lain FINAS bagi membantu penggiat seni tanah air?

KAMIL: Daripada jumlah filem dihasilkan setiap tahun, 55 peratus tidak menembusi kutipan pecah panggung. Jadi FINAS bercadang untuk membuat wayang pacak yang boleh membantu penggiat seni menjana pendapatan. Skrin besar akan didirikan di kawasan institut pengajian tinggi. Penonton akan dikenakan bayaran untuk menonton filem yang ditayangkan.

Malah, FINAS boleh membantu produser untuk mencari potensi lain untuk menjana pendapatan menerusi teknologi sedia ada.

RAP: Apakah langkah FINAS untuk menarik semula penonton ke pawagam?

KAMIL: Lazimnya, filem ditayangkan di pawagam selama enam minggu sebelum disiarkan di stesen berbayar. Kini, baru dua minggu tayangan tetapi filem baru itu sudah boleh ditonton di stesen berbayar. Sudah tentu pelanggan stesen terbabit ingin menonton filem baru kerana ia boleh ditonton berulang kali bersama keluarga.

Ini secara tidak langsung menjadi salah satu faktor bilangan penonton ke pawagam merosot dan saya akan mengadakan perbincangan dengan stesen berbayar mengenai perkara itu.

Pada masa sama, FINAS mencadangkan pihak pawagam untuk melaburkan wang dalam pembikinan filem tempatan. Inisiatif ini sudah dilakukan pawagam di luar negara.

RAP: Sebagai Ketua Pengarah baru bagaimana FINAS mengukuhkan lagi hubungannya dengan penggiat seni?

KAMIL: Peranan utama FINAS sekarang adalah sebagai fasilitator kepada penggiat seni. Saya juga akan bertemu dengan persatuan yang terbabit dalam industri filem tempatan. Saya mahu mendengar luahan pekerja industri filem tempatan untuk mencari penyelesaian. Selain itu, saya akan menggunakan kaedah pengurusan yang pernah dilakukan dalam pembangunan industri animasi dulu untuk memajukan industri filem.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:01 AM