PENGGAMBARAN sebuah drama yang dilakukan ketika  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
PENGGAMBARAN sebuah drama yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dr Megat Al Imran Yasin

MUSIM kegawatan kesihatan turut memberi kesan kepada kegawatan ekonomi.

Tidak terkecuali industri kreatif membabitkan penerbitan kandungan filem video turut sama terjejas.

Banyak syarikat dan kru penerbit terkesan dengan penutupan panggung wayang dan juga peraturan penggambaran yang ketat.

Mereka yang bergantung dengan industri penerbitan kandungan hilang mata pencarian dan menghadapi masa depan yang suram.

Penerbit kandungan kreatif seperti filem video ini tercari-cari sumber lain untuk terus berkarya dan meneruskan hidup.

Setiap tahun RTM menawarkan peluang kepada penerbit untuk menghantar kertas cadangan dan membentangkan kepada sesi pitching di RTM.

Antara syarat yang dikenakan oleh RTM, penerbit perlu berdaftar syarikat penerbitan dengan lesen penerbitan dan pengedaran filem/video dengan setiap pendaftaran bersama deposit sebanyak RM1,000 dan bayaran tahunan RM100.

Satu jumlah yang agak banyak dan membebankan syarikat penerbitan kecil.

Terbaharu, ada sebahagian syarikat penerbitan yang pernah memiliki dan membayar deposit kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dilupuskan deposit mereka dan diminta membayar deposit dan bayaran tahunan baharu secara penuh kepada Finas.

Jumlah dan peraturan ini sememangnya membebankan syarikat kecil dan generasi muda yang baharu berjinak-jinak dengan kegiatan penerbitan filem dan video.

Akibatnya ramai yang tidak layak untuk menghantar kertas cadangan dan pitching kepada RTM.

Pernah timbul kekecohan sebelum ini Menteri Komunikasi dan Multimedia sewaktu menjawab soalan di Parlimen berkenaan syarat penerbitan video dan filem seseorang itu perlu memiliki lesen penerbitan Finas.

Ramai mengkritik sekiranya inilah dasar yang diamalkan jelas sekali ia menekan industri penerbitan kreatif yang akhirnya menjadi lebih malap.

Justeru, mohon Kementerian Komunikasi dan Finas melihat semula dasar dan peraturan ini yang membebankan industri kreatif yang semakin terhimpit akibat situasi pandemik dan ekonomi yang terjejas.

Industri ini perlu terus bernyawa demi kelangsungan hidup ratusan ribu jiwa dan keluarga termasuk anak muda lepasan universiti yang baharu bertatih dalam industri ini.

Penulis Pensyarah Kanan Pusat Kecemerlangan Komunikasi Media dan Industri Kreatif, Fbmk Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:30 AM