FINAS menasihatkan semua pemegang lesen di bawah Akta Finas (Akta 244) agar menghentikan semua aktiviti perfileman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Arkib NSTP
FINAS menasihatkan semua pemegang lesen di bawah Akta Finas (Akta 244) agar menghentikan semua aktiviti perfileman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menasihatkan semua pemegang lesen di bawah Akta Finas (Akta 244) agar menghentikan semua aktiviti perfileman selaras dengan arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa pada 18 sehingga 31 Mac ini.

Penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh berkata, pihaknya menyahut seruan Finas itu dan terbuka untuk menghentikan sebarang penggambaran.

"Produksi saya sepatutnya menjalani penggambaran Dayang Senandung esok, namun saya maklumkan kepada seluruh pasukan produksi bahawa penggambaran dihentikan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

"Ada juga beberapa kerja penggambaran lain yang kami perlu mengikut jadual kerana ada tarikh tayangan yang sudah ditetapkan. Namun, apa yang kerajaan minta, kami akan akur," katanya kepada Harian Metro.

Pengarah dan penerbit Tanah Beris Film Production Sdn Bhd, Shuhaimi Lua pula mengakui terkejut dengan kenyataan Finas itu.

"Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apa dan agak terkesima. Apa yang pasti, kita akan hentikan penggambaran buat sementara waktu dan melihat situasi yang berlaku sekarang," katanya.

Shuhaimi juga meminta kepada pihak kerajaan supaya melihat dari sudut pandang anak seni terutamanya pembikin drama dan filem ketika situasi ini berlaku.

"Banyak benda yang perlu difikirkan antaranya, mereka yang bekerja sambilan atau 'freelance'. Ada sesetengah lokasi kita sudah tempah, buat bayaran dan ada juga penaja yang tarik semula penajaan.

"Mungkin kerajaan boleh fikirkan solusi untuk membantu anak seni, pembikin drama dan filem antaranya, membantu memaklumkan mana lokasi yang berpotensi terkena jangkitan atau lokasi yang bebas daripada jangkitan," katanya.

Tambahnya, produksinya juga sentiasa menitikberatkan mengenai kebersihan dan penjagaan kesihatan.

"Di set saya, kami sediakan 'hand sanitizer' dan juga topeng mulut untuk memastikan kesihatan semua yang berada di lokasj, dalam keadaan baik," katanya.

Selain menasihatkan pemegang lesen untuk menghentikan penggambaran, Finas juga memaklumkan mengenai penutupan kaunter lesen bagi urusan berhubung permohonan, pembaharuan lesen, Bayaran Filem Import, Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP), Surat Sokongan Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA) dan Tuntutan Bayaran Balik Deposit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menasihati semua ahli persatuan untuk akur dengan menangguhkan penggambaran.

"Pihak PTVM ingin menasihati semua ahli persatuan untuk akur dengan menangguhkan kerja penggambaran bermula 18 sehingga 31 Mac ini.

"Semoga dengan kerjasama semua pihak kita dapat mengekang penularan wabak Covid-19.

"Bagi PTVM, saya dan barisan ahli jawatankuasa mendoakan semoga Allah mempermudahkan urusan kita dalam menghadapi ujian ini. Insya-Allah, persatuan akan memainkan peranan proaktif dalam membantu ahli-ahli," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 11:06 PM