DARI kiri, Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman, Pengerusi Wajib Tayang, Zahrin Aris Presiden PFM dan Datuk Yusof Haslam di sidang media maklumbalas isu skim wajib tayang oleh Finas, PFM dan MAFE. FOTO Rohanis Abdul Shukri
DARI kiri, Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman, Pengerusi Wajib Tayang, Zahrin Aris Presiden PFM dan Datuk Yusof Haslam di sidang media maklumbalas isu skim wajib tayang oleh Finas, PFM dan MAFE. FOTO Rohanis Abdul Shukri
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menegaskan tidak akan memansuhkan Skim Wajib Tayang sebaliknya membuat beberapa penambahbaikan terhadap syarat sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Wajib Tayang Finas Zahrin Aris berkata, penambahbaikan itu membabitkan pemilihan saiz pawagam dan penambahan bilangan tayangan filem baru dalam sehari.

"Penerbit filem tempatan bebas memilih pawagam besar atau kecil untuk tayangan filem baru. Pada masa sama, filem itu perlu mencapai jumlah penonton sebanyak 15 peratus selama empat hari berturut-turut untuk terus kekal di pawagam.

"Selain itu, pihak pawagam turut bersetuju untuk menaikkan jumlah tayangan filem baru tempatan daripada empat kali kepada lima kali sehari," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan syarat itu akan berkuatkuasa pada bila-bila masa dan bertujuan mempertingkatkan kualiti filem tanah air.

Beliau berkata demikian berikutan timbul kekeliruan dalam kalangan penerbit filem sebelum ini apabila ada laporan media mengatakan Finas akan memansuhkan Skim Wajib Tayang.

“Finas tidak boleh sesuka hati berbuat demikian kerana skim itu masih relevan kepada industri filem tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 4:03 PM