SKUAD Piala Thomas negara selepas latihan di Bukit Kiara semalam.
SKUAD Piala Thomas negara selepas latihan di Bukit Kiara semalam.
Saiful Affendy Sapran & Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan pemain beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka bersemangat membantu skuad Piala Thomas kali ini, kerana aksi di Kunshan mungkin penampilan terakhir buat ketiga-tiga pemain berkenaan.

Menurut pengurus pasukan Piala Thomas Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong pastinya bermotivasi tinggi kerana sedar ia adalah peluang terbaik mereka untuk meraih gelaran juara kejohanan berpasukan itu sebelum bersara.

“Chong Wei selaku ketua pasukan dilihat bersemangat untuk mengetuai cabaran skuad negara pada Piala Thomas dan kepimpinannya memang ditagih dalam usaha menghasilkan keputusan positif,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pusat terakhir skuad Piala Thomas/Uber di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, setiap pemain mempunyai motivasi tinggi terutama mereka yang mungkin membuat penampilan terakhir di kejohanan ini seperti Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong sebelum meninggalkan pentas antarabangsa.

“Saya yakin mereka sedar ia (bergelar juara) bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai, malah semalam (kelmarin) Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) turut hadir untuk memberikan kata-kata semangat tanpa tekanan kepada pemain.

“Pemain tahu harapan diletakkan ke atas bahu mereka, jadi tidak perlu diberi tekanan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid berkata, peluang skuad negara mara sehingga ke separuh akhir lebih cerah andai muncul juara Kumpulan C yang turut disertai Korea Selatan, Jerman dan England.

“Saya lihat pasukan kali ini lebih seimbang dan pengalaman pemain yang bersama skuad negara pada 2014 amat penting,” kata Al Amin.

Turut membarisi skuad kali ini Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat (perseorangan) Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu).

Skuad negara akan berlepas ke China hari ini untuk kejohanan yang bakal bermula Ahad hingga 22 Mei.

Dua tahun lalu, skuad Piala Thomas hampir menjulang trofi berprestij itu sebelum tewas 2-3 kepada Jepun di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:48 AM