GERRARD (kiri) bersama Klopp pada sesi latihan Liverpool.
GERRARD (kiri) bersama Klopp pada sesi latihan Liverpool.

London: Kehadiran Steven Gerrard di padang latihan Liverpool pasti membantu melonjakkan semangat juang bekas rakan sepasukannya, kata pengurus Juergen Klopp.

Pemain tengah Los Angeles Galaxy berusia 35 tahun itu kembali menikmati suasana yang pernah dilaluinya di Melwood, Isnin lalu dan dia menyertai pemain Liverpool untuk menjalani latihan sekali gus mengekalkan tahap kecergasannya ketika saingan Major League Soccer berhenti rehat.

Klopp pernah berkata, beliau tidak akan memberi peluang kepada Gerrard untuk menambah jumlah penampilannya bersama kelab kesayangannya itu tetapi percaya pengaruh pemain itu masih kuat di Merseyside.

Ditanya mengenai kehadiran Gerrard di padang latihan Isnin lalu, pengendali Jerman itu sambil berjenaka berkata: “Dia tidak akan bermain (menentang Southampton)! Tapi, dia berada pada tahap terbaik.

“Saya berkata kepada pemain sebelum latihan, apabila dia berada bersama kami dalam bilik persalinan, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Keadaan itu sudah biasa baginya.

“Jika anda pemain sehebat Steven Gerrard di Liverpool, pintu kami sentiasa terbuka , itulah yang berlaku ketika ini. Ia petanda penting buat semua pemain.

“Jika anda bersikap sepertinya di kelab, jika anda sering memberikan sedaya upaya ketika bermain, mudah bagi anda untuk datang semula. Ia situasi yang cukup baik buat semua.

“Dia seorang yang penting dan ketika ini dia tetap penting kerana dia tetap turun menjalani latihan.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:24 AM