London: Jordan Henderson (gambar) masih di sekolah menengah ketika Steven Gerrard dilantik sebagai ketua pasukan Liverpool tetapi 11 tahun kemudian dia mengukir perasaan bangga kerana berupaya menjalinkan persahabatan selain menjadikan pemain itu sebagai contoh.

Ketika mereka sedang meraihkan ulang tahun penyerahan tugas ketua pasukan dari Sami Hyypia kepada Gerrard, Henderson menawarkan satu penghormatan kepada ketua pasukannya itu berikutan usaha yang sudah dilakukan setakat ini.

Pada 15 Oktober 2003, Gerrard tampil buat pertama kali sebagai ketua pasukan Liverpool di Anfield dan menang 3-0 pada pusingan pertama saingan kedua Piala UEFA ke atas kelab Slovenia, Olimpija Ljubljana.

Selepas sedekad, Gerrard masih lagi menjadi contoh dan Henderson percaya pemain yang memakai jersi nombor lapan itu memainkan peranan penting untuk membantu Liverpool terus cemerlang di atas padang.

"Beraksi bersamanya memberikan kelebihan buat saya. Ia sangat besar. Setiap hari saya melihatnya. Saya mempunyai keinginan untuk lebih maju selepas melihatnya. Dia adalah pemain terbaik dan paling berpengaruh dalam tempoh yang sangat panjang.

"Dia berlatih setiap hari dengan serius dan melakukan perkara yang perlu dalam tempoh yang lama. Semua orang mengikutinya. Dia melakukan pelbagai benda di mana orang di luar sana tidak dapat melihatnya. Di atas padang dia adalah seorang pemimpin yang hebat. Anda dapat melihat jaringan, hantaran dan terjahan yang dilakukannya, bagaimana dia dapat memberi inspirasi kepada pasukan.

"Di luar padang dia mengawal dirinya dengan baik sekali. Dia seorang yang baik dan semua orang di dalam pasukan sedar bahawa mereka mudah mesra dengannya. Paling penting dia lebih mementingkan pasukan berbanding dirinya sendiri," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Henderson percaya salah satu perkara yang dipelajarinya ketika bersama Gerrard di Melwood adalah bagaimana untuk berdepan dengan perkara yang mengecewakan ketika beraksi di peringkat tertinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:33 AM