BARISAN pemain meraikan hari lahir Gerrard ke-40. FOTO Agensi
BARISAN pemain meraikan hari lahir Gerrard ke-40. FOTO Agensi
Agensi

KESEMUA anggota skuad Liverpool menyanyikan lagu 'Selamat Hari Lahir' kepada legenda kelab itu, Steven Gerrard yang kini berusia 40 tahun.

Gerrard yang melakukan 748 penampilan dan meledak 191 gol untuk Reds, sememangnya salah seorang bekas pemain yang cukup dihormati di kelab itu.

Bagi meraikan hari penuh bermakna bekas kapten kelab itu, pengurus Jurgen Klopp mengetuai nyanyian ketika sesi latihan.

Barisan pemain dan kejurulatihan bertepuk tangan dan menyanyi bersama menerusi pelbagai bahasa di Melwood.

Gerrard pastinya gembira dengan penghormatan yang diberikan kepadanya itu ketika Liverpool kini sedang berusaha untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali pertama selepas 30 tahun.

Dengan berbaki sembilan perlawanan, Reds kini selesa di tangga teratas mengumpul 82 mata dan hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Mereka mungkin mampu memenuhi impian itu pada perlawanan tertutup bertemu seteru setempat, Everton di venue berkecuali bagi mengelak peminat berkumpul meraikan kejayaan Reds ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:18 PM