KARYA ciptaan Omar K dan Audi Mok dipilih lagu terbaik pada persaingan Muzik Muzik Separuh Akhir 1.
KARYA ciptaan Omar K dan Audi Mok dipilih lagu terbaik pada persaingan Muzik Muzik Separuh Akhir 1.
Oleh Wahi Aziz


Mungkin masih terlalu awal untuk berpuas hati, namun pemilihan Sampai Mati sebagai lagu terbaik pada persaingan Muzik Muzik Separuh Akhir 1, malam kelmarin membuka lebih peluang karya ciptaan Omar K dan Audi Mok itu mara ke Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), Januari tahun depan.

Meskipun seakan-akan bermimpi tatkala mendengar pengumuman itu, Hazama menyifatkan ia satu penghargaan besar buat dirinya dan percipta lagu terbabit.

“Mewakili Omar K dan Audi Mok, syukur di atas pengiktirafan terhadap lagu ini.

“Saya sekadar menyampaikannya dan yang dihargai sebenarnya adalah mereka,” katanya.

Hazama mengakui teruja kerana ini penyertaan pertamanya menyampaikan lagu pop balada dalam Muzik Muzik.

“Ini kali pertama saya bawa lagu pop balada. Dua penyertaan sebelum ini lagu rancak iaitu Penglipurlara dan Malaikat

“Jika lagu ini mara ke AJL30, saya seronok. Saya mengharapkan yang terbaik dan jika ada rezeki bertanding di pentas akhir, insya-Allah kita akan rancang sesuatu yang menarik,” katanya.

Tiada maklumat mengenai permarkahan didedahkan sehingga minggu ketiga persaingan. Selain Sampai Mati, 10 lagi lagu yang bersaing malam kelmarin adalah Biarkanlah nyanyian Drama Band, Langit Tetap Biru (Aizat), Untuk Cinta (Hafiz dan Adira), Knock Knock (Elizabeth Tan), Hantu Atau Buaya (Nana Sheme), Cinta Yang Sempurna (Qanda), Bukan Hal Aku (Kaka dan Alyph Sleeq), Di Pintumu (Firman), Melepaskanmu (Sakura Band) dan Terima Kasih Cinta (Tasha Manshahar dan RJ).

Sementara itu, Pengarah Projek MM30, Muhamed Sufian Che Isa berkata, pembabitan majoriti muka baharu dalam pertandingan berprestij itu seiring trend muzik masa kini.

“Kali ini kita dapat menyaksikan ramai pendatang baharu. Lagu-lagu mereka menjadi kegilaan pendengar masa kini.

“Pun begitu tidak bermakna lagu dendangan penyanyi senior tidak berkualiti. Kami turut berharap penyanyi senior masih berminat bertanding pada masa akan datang.

“Saya faham ada banyak cerita kurang sedap didengar sebelum ini sehingga ramai penyanyi senior tidak mahu bertanding lagi.

“Namun saya dan produksi merayu dan berharap mereka berubah dan buang semua persepsi lama. Kami mahu penyertaan yang seimbang antara penyanyi lama dan baharu selepas ini,” katanya.

Semua peserta diadili tujuh juri iaitu Azmeer, Helen Yap, Edrie Hashim, Jennifer Thompson, Monoloque, Taja dan diketuai Datuk Mokhzani Ismail.

Minggu kedua separuh akhir pada Ahad depan bakal menyaksikan 10 lagi lagu bertanding.

Pengumuman finalis yang layak ke pentas AJL30 akan diumumkan selepas berlangsungnya pertandingan separuh akhir ketiga pada 6 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:59 AM